Utusan Borneo (Sarawak)

KERAJAAN SARAWAK TANGGUNG KOS BAWA BALIK MAYAT THEN

-

KUCHING: Kerajaan negeri akan memberi segala bantuan diperlukan dan akan menanggung semua perbelanja­an bagi membantu ahli keluarga Bernard Then membawa balik mayat mendiang ke Malaysia.

Prihatin dan sangat bersimpati dengan tragedi menimpa Then yang dipercayai dipancung oleh kumpulan pengganas dari Filipina, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mahu keluarga mendiang ditemani dan diberi sokongan dengan pelbagai cara.

Atas arahan Adenan, satu delegasi terdiri daripada Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembanguna­n Keluarga Datuk Fatimah Abdullah, Pegawai Pentadbira­n Khas Ketua Menteri Wan Khalik Wan Muhammad dan pegawai Polis Diraja Malaysia telah dibentuk untuk menemani keluarga Then pergi ke Manila.

Atas arahan beliau juga, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif menanggung segala perbelanja­an yang diperlukan kesemua lima anggota keluarga Then yang terdiri daripada ibu bapa, isteri dan dua adik beradiknya.

Menurut Fatimah, pihak berkuasa negeri telah mendapat kerjasama daripada Wisma Putra dan pihak berkuasa Filipina tentang cara terbaik untuk membantu keluarga mangsa.

“Saya telah mengadakan perbincang­an dengan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) ketika beliau berada di sini minggu lepas tentang bagaimana membantu keluarga Then.

“Dan sejak itu, kami sentiasa berhubung rapat dengan Wisma Putra dan pihak berkuasa Filipina tentang berapa cepat kami dapat mengatur urusan perlu bagi membantu keluarga yang dalam kesedihan itu,” kata Fatimah kepada Borneo Post, semalam.

Fatimah berkata upacara pembakaran mayat mangsa akan diadakan di Filipina dan dikendalik­an mengikut ritual Katolik.

“Keluarga mangsa turut memohon agar ritual terakhir diadakan di Kuala Lumpur pada Sabtu kerana isteri mendiang Then berasal dari Kuala Lumpur dan upacara pengebumia­n akan diadakan di sana,” kata Fatimah.

Keluar Then dan delegasi kerajaan negeri akan disambut oleh Kedutaan Malaysia di Filipina.

Mayat Then akan diterbangk­an dari bandar raya Davao ke Manila pada Khamis dan upacara pembakaran mayat akan diadakan pada Jumaat, jam 9.30 pagi di Pasay City Public Cemetery yang akan dihadiri delegasi diketuai Fatimah.

Delegasi dan keluarga Then akan diterbangk­an dari Manila ke Kuala Lumpur pada Sabtu.

Then, 39, yang berasal dari Sarawak, telah dipancung pada 17 November 2015 di Filipina selepas diculik kumpulan bersenjata di Restoran Makanan Laut Ocean Kingdi Sandakan, Sabah pada 14 Mei 2015.

Selain Then, pengurus restoran Thien Nuk Fun turut ditahan sebagai tebusan oleh kumpulan yang disyaki anggota Abu Sayyab. Bagaimanap­un Thien telah dibebaskan pada 8 November 2015.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia