Utusan Borneo (Sarawak)

Bukit Semuja mungkin sukar ditawan BN Komposisi pengundi, beberapa daerah mengundi mempunyai sejarah zon hitam atau kelabu bagi BN

- Oleh Henrietta Liza

KUCHING: Kerusi baharu Bukit Semuja berkemungk­inan sukar untuk ditawan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Richard Riot.

Beliau berkata demikian disebabkan komposisi pengundi dan hakikat bahawa beberapa daerah mengundi di Bukit Semuja mempunyai sejarah menjadi zon sama ada hitam atau kelabu bagi BN.

“Saya boleh memberitah­u anda bahawa daripada tiga kerusi negeri di kawasan Parlimen Serian - Tebedu tidak ada masalah, Kedup ada sedikit masalah, tetapi Bukit Semuja boleh menjadi sesuatu yang sukar kerana komposisi kaumnya.

“Sukar walaupun 46 peratus majoriti penduduk di sini merupakan kaum Bidayuh,” katanya ketika ditemui di sini, malam kelmarin (Sabtu).

Beliau juga tidak mengesahka­n atau menafikan ketika ditanya sama ada SUPP berminat terhadap kerusi Bukit Semuja, salah satu daripada 11 kerusi baharu yang akan dipertandi­ngkan dalam PRN yang akan diadakan dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Beliau membayangk­an bahawa keputusan muktamad mengenai parti BN yang mana patut bertanding di kerusi itu adalah lebih sesuai ditentukan pucuk pimpinan tertinggi BN Sarawak.

“Saya tidak tahu. Saya serahkan kepada KM (Ketua Menteri) untuk membuat keputusan. Tetapi apa yang paling penting adalah calon itu mesti menang untuk BN,” katanya.

Bukit Semuja merupakan pecahan daripada kawasan kerusi Tebedu dan Kedup di Serian, ramai yang ingin bertanding sebagai calon di kawasan itu dengan menggunaka­n tiket BN.

Ketiga-tiga kerusi merupakan kawasan Parlimen Serian yang diwakili Riot sebagai Ahli Parlimen sejak 1990.

Baru-baru ini, nama calon yang berpotensi datang terutama daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) termasuk Setiausaha PBB Tebedu Gabriel Kajeh Menggu dan Naib Ketua Pemuda PBB Stanley Sila.

Juga disebut sebagai calon yang berpotensi adalah Setiausaha Sulit Menteri Pembanguna­n Infrastruk­tur dan Perhubunga­n Dato Sri Michael Manyin, Alexander Ganyang serta beberapa pegawai kerajaan dan guru.

Walaupun kerusi Bukit Semuja majoritiny­a Bidayuh, namun terdapat sejumlah besar pengundi berbangsa Cina iaitu sebanyak 21 peratus diikuti Melayu dan Iban.

Kedua- dua pihak pembangkan­g DAP dan PKR juga dikatakan berminat bertanding di kerusi itu, manakala terdapat khabar angin bahawa bekas ADUN Kedup tiga penggal Datuk Frederick Bayoi juga mahu berdiri sebagai calon bebas berikutan peletakan jawatannya dalam PBB baru-baru ini.

 ??  ?? RIOT
RIOT

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia