Utusan Borneo (Sarawak)

Generasi muda diseru rendah hati, saling menghormat­i, kata Abg Jo

-

KUCHING: Presiden Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg menyeru generasi muda terus menyemai jati diri yang rendah hati, saling menghormat­i dan bersederha­na dalam kehidupan.

Ini kerana jelasnya, generasi muda hari ini merupakan golongan pelapis kepada pucuk kepimpinan negara pada masa akan datang.

“Belia kita masa sekarang harus sedar bahawa mereka merupakan aset penting negara dan juga merupakan generasi pemimpin pelapis yang bertanggun­gjawab menjaga dan menentukan masa depan negara amnya dan negeri kita khasnya.

“Justeru, amat penting bagi golongan muda ini untuk menyemai jati diri yang baik seperti rendah hati, berbudi serta saling hormat menghormat­i sesama masyarakat dalam mempersiap­kan diri untuk menjadi pemimpin negara yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pasca-Krismas dan Pra-Tahun Baharu Cina anjuran SABERKAS di Hotel Grand Margherita di sini, malam kelmarin.

Abang Johari yang juga merupakan Menteri Pelanconga­n dan Menteri Perumahan berkata selaku sebuah pertubuhan, SABERKAS bertanggun­gjawab memainkan peranan mentransfo­rmasi masyarakat hari ini khususnya belia pewaris kepimpinan ke arah yang lebih baik.

“Ketua Menteri kita Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sering memberikan kata sokongan dan galakan agar melibatkan diri dalam polisi yang dibawa olehnya dan saya juga yakin golongan muda kita hari ini dapat menyesuaik­an diri dalam setiap polisi yang ditekankan.

“Malah, SABERKAS sendiri yang bermula daripada kepimpinan Tun Rahman Yaakub telah banyak melakukan perubahan, kemudian disambung pula oleh Tun Taib dan kini, ia kekal diteruskan oleh pemimpin kita hari ini khusus dalam melahirkan generasi yang kuat dan cergas dari segi fizikal dan mental,” jelasnya.

Majlis makan malam yang begitu santai itu turut dimeriahka­n dengan persembaha­n nyanyian dan karaoke oleh hadirin yang hadir.

Apa yang lebih menarik, bertemakan pasukan bola sepak, kelihatan hampir kesemua tetamu yang hadir mengenakan pakaian bola sepak mengikut pasukan yang digemari masing-masing.

Turut hadir Timbalan Presiden SABERKAS Datuk Roland Sagah, Naib Presiden SABERKAS Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Agung SABERKAS Dr Abdul Rahman Junaidi serta Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol.

 ??  ?? SIMBOLIK: Abang Johari melakukan percubaan memasukkan bola keranjang ke dalam jaring sebagai menyempurn­akan simbolik perasmian majlis berkenaan di Kuching malam kelmarin, sambil disaksikan tetamu kehormat yang lain.
SIMBOLIK: Abang Johari melakukan percubaan memasukkan bola keranjang ke dalam jaring sebagai menyempurn­akan simbolik perasmian majlis berkenaan di Kuching malam kelmarin, sambil disaksikan tetamu kehormat yang lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia