Utusan Borneo (Sarawak)

UMP pastikan tidak ada pelajarnya hidup ikat perut

-

KUANTAN: Pihak pentadbira­n Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengadakan jalinan erat bersama Majlis Perwakilan Pelajar ( MPP) untuk memastikan tiada mahasiswa di universiti itu terpaksa ikat perut akibat masalah kewangan.

Naib Canselorny­a Prof Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim berkata MPP bertindak menjadi mata dan telinga pihak universiti yang akan menyalurka­n maklumat dan bantuan sekiranya ada pelajar yang menghadapi masalah itu.

“Semalam kita telah mengadakan perjumpaan dengan MPP dan hasil maklumat daripada rangkaian kawankawan di asrama mahupun fakulti masing-masing, setakat ini di UMP tiada masalah pelajar yang terpaksa ikat perut kerana tidak mempunyai cukup wang untuk makan.

“Yang berlaku hanyalah pelajar berjimat cermat dan merancang perbelanja­an mereka. Sekiranya ada pelajar yang sampai ikat perut tidak makan, sudah tentu kami pihak universiti akan tahu melalui wakil MPP ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di sini semalam sebagai mengulas laporan akhbar berkenaan isu ikat perut di kalangan mahasiswa universiti awam berikutan masalah kewangan.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMP Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin.

Daing Nasir berkata UMP telah melipatgan­dakan usaha untuk menjaga kebajikan pelajar terutamany­a menerusi peranan dimainkan Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), MPP dan Exco Kebajikan di peringkat fakulti bagi mengenal pasti pelajar susah atau pelajar yang memerlukan bantuan sepanjang pengajian.

Beliau berkata pelajar yang memerlukan bantuan boleh terus berjumpa kaunselor, pengetua kolej atau ke kaunter pejabat JHEPA yang dibuka setiap masa untuk memohon zakat.

“Isu pelajar terpaksa ikat perut di universiti sepatutnya tidak berlaku memandangk­an setiap universiti awam mempunyai Tabung Kebajikan Pelajaryan­g diuaruarka­n kepada pelajar sejak mereka mula mendaftark­an diri di universiti.

“Di UMP sendiri kita juga ada Tabung Pinjaman sama ada untuk membuat pinjaman sementara ataupun pinjaman jangka panjang serta Tabung Khasiaitu memberikan sumbangan serta-merta kepada pelajar yang mengalami masalah kecemasan seperti kes kehilangan dompet,” katanya.

Sementara itu, Yuserrie pula berkata UMP membelanja­kan sebanyak RM323,438 bagi bantuan kebajikan pelajar pada tahun lepas dan jumlah itu termasuk RM29,887 untuk elaun pelajar yang dilantik di bawah Skim Pelajar Bekerja.

“Seramai 2,412 orang menerima manfaat termasukla­h penerima bantuan zakat, bantuan yuran pengajian, khairat kematian, bantuan bencana, bantuan sara diri, sumbangan perubatan serta pelbagai program yang dijalankan.

“Manakala bantuan pemberian elaun dalam Skim Pelajar Bekerja juga dapat membantu seramai 43 pelajar yang terlibat,” katanya.

Yuserrie berkata UMP juga melaksanak­an Program Kongsi Rezeki: Cheap Lunch Take Away untuk membantu pelajar dengan menyediaka­n makanan tengah hari yang berharga RM5 tetapi dijual dengan harga RM1 sahaja kepada pelajar UMP bagimering­ankan beban mereka membeli makanan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia