Utusan Borneo (Sarawak)

FBM KLCI dijangka rendah minggu ini

Ketidaksta­bilan mata wang China dan pasaran ekuiti memburukka­n lagi sentimen

-

KUALA LUMPUR: Penanda aras utama FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) dijangkaka­n rendah minggu ini berikutan kebimbanga­n berterusan terhadap kelembapan di China serta harga minyak mentah yang rendah.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidik Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata ketidaksta­bilan mata wang China dan pasaran ekuiti akan memburukka­n lagi sentimen negatif dalam pasaran.

“Berdasarka­n prestasi renminbi yang tidak stabil, sentimen dunia dijangkaka­n lemah dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.

Dari segi teknikal, trend FBM KLCI kembali lemah selepas indeks susut 30 mata atau 1.7 peratus pada minggu pertama 2016.

Sokongan dan halangan terdekat FBM KLCI kini masing-masing ditambat pada 1,650 dan 1,680, dan berdasarka­n iklim ekonomi yang kini mencabar, indeks akan terus didagangka­n pada aliran menurun ke arah 1,600.

Indeks Pengeluara­n Perindustr­ian Malaysia yang meningkat secara marginal sebanyak 1.8 peratus tahun ke tahun, peningkata­n paling perlahan dalam tempoh 16 bulan, mungkin mencadangk­an ekonomi tempatan perlu ‘berehat’, bagi mendorong kepada momentum menaik.

Sementara itu, Penganalis­is FXTM Research Lukman Otunuga berkata minyak mentah kekal rendah berikutan kebimbanga­n terhadap lebihan bekalan dalam pasaran, yang kini masih mencatat rekod yang tinggi.

“Dari sudut teknikal, unjuran bagi minyak mentah West Texas Intermedia­te sangat rendah memandangk­an harganya secara konsisten rendah dan mencatatka­n harga pada tahap terendah,” katanya.

Selain itu beliau berkata kedudukan ringgit yang kembali lemah berbanding dolar AS, apabila susut 2.5 peratus minggu ke minggu, meletakkan pasangan mata wang itu pada penutupan terendah sejak November 2015, juga tidak membantu.

“Mengikut sektor, kami melihat banyak aktiviti ke atas saham teknologi yang memperoleh manfaat kukuh penamatan rundingan Perjanjian Perkongsia­n TransPasif­ik, perjanjian perdagan- gan terbesar dalam sejarah Malaysia, yang meletakkan asas untuk eksport yang lebih besar pada tahun-tahun mendatang.

Mengikut perbanding­an mingguan, FBM KLCI susut 29.06 mata kepada 1,628.55 berbanding 1,657.61 yang direkodkan pada Jumaat sebelumnya.

Indeks FBM Emas turun 204.26 mata kepada 11,419.02, Indeks FBMT100 susut 196.37 mata kepada 11,093.6, FBM Emas Syariah turun 259.05 mata kepada 12,365.33, FBM 70 susut 222.78 mata kepada 12,906.84, manakala FBM Ace merosot 108.56 mata kepada 6,214.81.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan susut 227.21 mata kepada 13,691.38, Indeks Perladanga­n turun 93.44 mata kepada 7,532.75 manakala Indeks Perusahaan turun 68.78 mata kepada 3,134.45.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 9.51 bilion unit bernilai RM9.8 bilion berbanding 11.30 bilion unit bernilai RM10.19 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkuranga­n kepada 6.22 bilion saham bernilai RM9.04 bilion berbanding 7.39 bilion saham bernilai RM9.10 bilion.

Jumlah dagangan Waran merosot kepada 1.56 bilion unit bernilai RM319.89 juta berbanding 2.22 bilion unit bernilai RM488.62 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 1.72 bilion saham bernilai RM437.52 juta berbanding 2.29 bilion saham bernilai RM592.68 juta sebelumnya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia