Utusan Borneo (Sarawak)

Jualan peniaga program TUBE cecah RM20.78 juta

-

KUALA KANGSAR: Jumlah jualan tahunan terkumpul yang dijana oleh peniaga program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) mencecah RM20.78 juta sejak dilaksanak­an pada 2014.

Timbalan Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri (MITI) Datuk Ahmad Maslan berkata jualan itu berjaya diraih oleh 936 daripada 943 peserta program siri pertama dan kedua yang telah memulakan perniagaan.

“Menerusi perniagaan yang diwujudkan ini, ia berjaya membuka 1,513 peluang pekerjaan,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan pertemuan dengan seorang peserta TUBE di kedainya di sini, kelmarin.

Bagi program siri pertama, Ahmad berkata seramai 443 daripada 448 peserta telah menjalanka­n perniagaan dengan jumlah jualan sebanyak RM17.8 juta.

Katanya, peserta program itu telah menjalani kursus berkaitan perniagaan selama tiga minggu di empat kem Program Latihan Khidmat Negara ( PLKN) iaitu di Bidor, Perak; Mantin, Selangor; Papar, Sabah; Sibu, Sarawak.

Ahmad berkata seramai 495 peserta telah menjalani latihan dengan 493 daripadany­a telah menjalanka­n perniagaan dan meraih jualan RM2.98 juta.

Mengenai program siri ketiga yang dilancarka­n pada 1 Jun lepas, Ahmad berkata permohonan secara dalam talian dibuka kepada seramai 500 peserta, termasuk 50 orang dari Perak.

“Permohonan telah dibuka secara dalam talian bermula 1 Jun hingga 15 Jun, dan kita mengalakka­n lebih ramai usahawan belia terutama dari Perak untuk memohon,” katanya.

Katanya peserta akan menjalani kursus dari 2 Okt hingga 22 Okt ini di 10 kem PLKN di seluruh negara, termasuk di Sabah, Kedah, Kelantan, Melaka dan Perak.

Ahmad berkata pemohon perlu memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan iaitu warganegar­a Malaysia bertaraf Bumiputera dan berumur antara 18 dan 30 tahun, mempunyai sijil kemahiran, belum memulakan perniagaan, sihat tubuh badan, tidak pernah disabitkan dengan kesalahan jenayah, bukan keluarga terdekat SME Corp Malaysia.

Program TUBE yang tercetus ketika Kongres Usahawan Muda Bumiputera yang dianjurkan oleh MITI pada 27 hingga 29 Mac 2014, merupakan inisiatif kerajaan bagi menggalakk­an generasi belia menceburi bidang perniagaan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia