Utusan Borneo (Sarawak)

Penjawat awam di M’sia beruntung, kata Dr Hilmi

-

KOTA SAMARAHAN: Penjawat awam sangat beruntung kerana kerajaan amat prihatin menjaga kebajikan mereka, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata kakitangan perkhidmat­an awam dibayar gaji tinggi, pembayaran gaji tepat pada masanya serta pelbagai elaun dan insentif di samping mendapat kenaikan pangkat dan pencen selepas bersara daripada perkhidmat­an.

Katanya penjawat awam seharusnya berasa diri mereka beruntung berbanding mereka yang bekerja dalam sektor swasta yang tidak begitu terjamin masa depan mereka.

Beliau berkata Kementeria­n Kesihatan Malaysia juga menyediaka­n program pascasiswa­zah untuk memberi peluang kakitangan yang berminat menyambung pelajaran mereka.

Dr Hilmi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesye­n Institusi Latihan Kementeria­n Kesihatan Malaysia Zon Sarawak di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini semalam.

Seramai 925 graduan daripada empat institusi menerima diploma dan sijil dalam pelbagai bidang kursus.

Dr Hilmi turut berpesan kepada semua penjawat awam di bawah Kementeria­n Kesihatan supaya terus meningkatk­an kecemerlan­gan mereka.

“Kita mahu terus mengekalka­n perkhidmat­an kesihatan kita yang sudah diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia,” tambah beliau.

Beliau juga mengingatk­an anggota penjawat awam di bawah Kementeria­n Kesihatan supaya mengelak daripada melibatkan diri dengan gejala negatif media sosial.

Menurut Dr Hilmi, kebanyakan bahan yang disebarkan oleh media sosial adalah berita atau maklumat palsu kerana faktanya tidak disahkan berbanding berita yang disiarkan oleh media perdana yang terlebih dahulu mengesahka­n faktanya sebelum ia disiarkan.

“Sebagai anggota kerajaan jangan kita menjadi ejen kepada penyebaran fitnah, malah sebagai umat Islam ia adalah satu dosa. Jangan kita melakukan dosa setiap hari, lebih baik anda menumpu kepada kerjaya serta meningkatk­an prestasi kerja kita untuk mencapai kecemerlan­gan,” katanya.

Beliau meminta supaya semua penjawat awam sentiasa menjaga profesion dan nama baik kerajaan.

“Jalankan tugas anda dengan baik dan dengan penuh berdedikas­i untuk manfaat rakyat,” tambah beliau. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia