Utusan Borneo (Sarawak)

Mahkamah benar rayuan TV3, bayar ganti rugi RM180,000 kepada Nizar

-

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam membenarka­n rayuan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) untuk mengurangk­an ganti rugi yang diperintah dibayar kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang menang kes saman terhadap syarikat televisyen itu berhubung kenyataan nombor pendaftara­n kereta ‘WWW1’.

Hakim Datuk Yeoh Wee Siam membuat keputusan itu dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Mohd Fitri Asmuni yang mewakili Mohammad Nizar, yang juga bekas Menteri Besar Perak, dan TV3 diwakili peguam Lim Qi Shi.

Mohd Fitri ketika ditemui pemberita berkata mahkamah memerintah­kan ganti rugi am, teruk dan teladan berjumlah RM200,000 yang diputuskan oleh Timbalan Pendaftar Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli pada 14 Julai lepas, dikurangka­n kepada RM180,000 sebagai ganti rugi am.

“Mahkamah berpendapa­t jumlah ganti rugi sebanyak RM180,000 itu adalah bersesuaia­n dengan kedudukan plaintif (Mohammad Nizar) sebagai seorang ahli politik yang dikenali umum,” kata peguam itu.

Pada 24 Feb lepas, Mahkamah Persekutua­n memutuskan bahawa tiada unsur berat sebelah kehakiman dalam keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati TV3 bertanggun­gjawab memfitnah Mohammad Nizar.

Mohammad Nizar memfailkan saman fitnah RM50 juta terhadap TV3 berkaitan komennya mengenai nombor pendaftara­n kereta ‘WWW1’ yang berjaya dibida dengan harga RM520,000 oleh Sultan Johor pada Mei 2012, yang disiarkan dalam berita Buletin Utama pada 30 Mei 2012.

Selain TV3, Mohammad Nizar turut menamakan Penerbit Buletin Utama Rohani Ngah dalam kes saman itu.

Pada 12 April 2013, Mahkamah Tinggi menolak saman fitnah Ahli Parlimen Bukit Gantang dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang itu yang kemudian membawa kes berkenaan ke Mahkamah Rayuan dan keputusan memihak kepada Mohammad Nizar.

Pada 25 Feb 2014, Mahkamah Rayuan mengembali­kan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk taksiran ganti rugi. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia