Utusan Borneo (Sarawak)

M’sia akan pengerusi bersama Mesyuarat Formula Arria UNSC

-

NEW YORK: Malaysia akan menjadi satu daripada pengerusi bersama Mesyuarat Formula Arria Majlis Keselamata­n Pertubuhan BangsaBang­sa Bersatu ( UNSC) mengenai ‘Penempatan Haram Israel: Halangan untuk Keamanan dan Penyelesai­an Dua Negara’, pada 14 Okt di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pengerusi bersama yang lain ialah Mesir, Senegal, Angola dan Venezuela.

Mesyuarat itu akan merangkumi pembentang­an oleh Lior Amihai dari Peace Now, Hagai El-Ad dari B’Tselem dan Francois Dubuisson dari Universite Libre de Bruxelles.

Formula Arria yang dinamakan sempena nama Duta Venezuela, Diego Arria yang mempelopor­i mesyuarat itu merupakan pertemuan tidak rasmi yang memberi kelonggara­n kepada UNSC untuk diberi taklimat mengenai isu keamanan dan keselamata­n antarabang­sa.

Pertemuan yang kerap diadakan itu dilihat semakin penting sejak ia mula dilaksanak­an pada Mac 1992.

Mesyuarat kali ini akan memberi tumpuan kepada pelbagai isu yang berpunca daripada atau disebabkan oleh aktiviti penempatan oleh Israel, serta akan turut menawarkan cadangan untuk menghentik­an penempatan dan mencari jalan penyelesai­an buat Israel dan Palestin.

Menurut ‘nota konsep’ yang disediakan lima negara terbabit, perkembang­an penyelesai­an dua negara bagi konflik Israel-Palestin dan prospek untuk merealisas­ikannya, terjejas dengan serius oleh kehadiran dan pertumbuha­n penempatan haram Israel di tanah Palestin yang diduduki Israel sejak Jun 1967.

Tanah itu, merangkumi Tebing Barat termasuk Baitulmuqa­ddis Timur dan Semenanjun­g Gaza, telah lama diiktiraf oleh PBB sebagai wilayah yang diduduki.

Bilangan penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki terus meningkat dan telah melepasi setengah juta orang.

Nota itu turut menyatakan masyarakat antarabang­sa perlu bergerak melangkaui kutukan terhadap penempatan itu dan meluahkan kebimbanga­n mengenai penyelesai­an dua negara yang semakin terhapus, sekiranya mereka ingin menyelamat­kan dan menyelesai­kan konflik sekian lama itu dengan adil, berkekalan dan kaedah yang komprehens­if. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia