Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki akui rogol, bunuh gadis Perancis

-

SYDNEY: Seorang lelaki Australia semalam mengaku merogol dan membunuh seorang gadis Perancis di Brisbane, di mana mayat tanpa seurat benang mangsa dijumpai di sebuah taman.

Sophie Collombet ditemui dekat pangsapuri­nya di selatan bandar raya pada Mac 2014 dan polis berkata pelajar perniagaan berusia 21 tahun itu dipukul hingga mati.

Benjamin Milward, 27, ditangkap tidak lama kemudian dan semalam mengaku bersalah atas tuduhan membunuh dan merogol, kata pegawai Mahkamah Agung.

Dalam perbicaraa­n pemenjaraa­nnya pada 2015, mahkamah mendengar Milward telah menghisap dadah ‘ice’ dan minum arak pada hari pembunuhan, kata Perbadanan Penyiaran Australia.

Collombet pelajar asing keempat yang dibunuh kejam di Brisbane dalam tempoh hampir empat bulan, selepas warga Singapura, Meena Narayanan, mati ditikam.

Hanya beberapa bulan sebelum itu, pelajar Korea Selatan Eunji Ban dijumpai dibelasah sehingga mati di sebuah taman Brisbane dan beberapa minggu kemudian mayat seorang lagi warga Korea Selatan, Min Tae Kim, ditemui dalam kubur cetek di belakang sebuah rumah.

Kes-kes itu tiada kaitan dan polis percaya mangsa hanya berada di tempat yang salah pada waktu yang salah.

Collombet sedang berjalan pulang selepas kelas malam di Universiti Griffith ketika diserang dan dibunuh.

Milward akan menerima hukuman hujung bulan ini dan keluarga Collombet dijangka terbang dari Perancis untuk perbicaraa­n itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia