Bintang Megamall kekal reputasi pusat beli-belah kerap dikunjungi
MIRI: Kejayaan Kompleks Beli-Belah Bintang Megamall Miri mengekalkan reputasi sebagai pusat belibelah yang kerap dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negeri selama 20 tahun bukan perkara mudah.
Pengerusi Eksekutif Miri Housing Group of Companies, Datuk Lau Siu Wai berkata rata-rata pelancong yang datang ke Miri menjadikan kompleks beli-belah itu sebagai lokasi pilihan.
“Kita melaksanakan bahagian kita iaitu membangunkan pusat beli- belah yang dikenali selama 20 tahun dan kejayaan mengekalkan reputasi ini adalah hasil kerjasama dan komitmen semua pihak,” katanya pada Malam Oscar sempena Ulang Tahun Ke-20 Bintang Megamall Miri di sini malam kelmarin.
Lau memberitahu, pihaknya melakukan yang terbaik menarik lebih ramai pelancong dari luar untuk datang ke Miri bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan tetapi destinasi membeli-belah.
“Harapan kita pada masa akan datang kebanjiran pelancong dari dalam dan luar negara ke Miri semakin bertambah malah merancakkan ekonomi,” jelasnya.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan Universiti Petroleum China Kampus Miri dijangka siap dibina dan mula beroperasi pada September 2017.
Katanya, berdasarkan maklum balas diberikan universiti itu dari kampus induknya di China, Universiti Petroleum China Kampus Miri dijadualkan memulakan operasinya pada September 2017 dengan 200 pelajar sebagai permulaan.
“Ia adalah universiti swasta pertama di rantau Asia Pasifik menawarkan bidang kejuruteraan minyak dan gas bermula daripada aspek penemuan minyak sehingga pengeluaran.
“Ini bermaksud pelajar tidak perlu mengambil khusus serupa di universiti luar negara mendapat kemahiran bidang itu kerana ada ditawarkan di Miri,” katanya.
Sementara itu, pelbagai acara menarik diadakan termasuk simbolik memotong kek, persembahan nyanyian artis tempatan serta cabutan bertuah menawarkan hadiah lebih RM10,000.