Utusan Borneo (Sarawak)

Nelayan syukur kerajaan teruskan elaun sara hidup

-

KANGAR: Lebih 1,000 nelayan di negeri ini bersyukur kerajaan terus prihatin dan mengekalka­n elaun sara hidup bulanan antara RM200 hingga RM300 bagi meringanka­n beban ditanggung mereka.

Pengerusi Persatuan Nelayan Perlis Selatan, Romly Sabu berkata pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai perkara itu ketika membentang­kan Bajet 2017 pada Jumaat lepas, membuktika­n kerajaan serius membela nasib golongan nelayan.

“Walaupun keadaan ekonomi dunia tidak menentu, nasib golongan nelayan yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang tetap diambil perhatian.

“Malah, ketika rakyat dimomokkan dengan khabar angin negara akan bankrap kerana tiada sumber kewangan dan sebagainya, kerajaan terus dengan usaha membantu meningkatk­an taraf hidup rakyat,” katanya kepada Bernama.

Romly berkata walaupun tiada kenaikan, langkah kerajaan meneruskan pemberian bantuan tersebut sangat bererti dan bermanfaat kepada golongan nelayan.

“Bagi orang lain mungkin jumlah itu tak banyak, namun pada kami (nelayan) ia amat membantu dalam menampung perbelanja­an harian terutama bagi yang ada anak dan bersekolah,” katanya.

Mohd Jamil Halim, 44, seorang nelayan bot kecil, ber- kata pengumuman bantuan itu memang dinantikan golongan nelayan kerana boleh dimanfaatk­an untuk pelbagai perkara termasuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

Beliau berkata mereka sering berdepan cabaran kewangan kerana pendapatan bulanan tidak menentu berikutan cuaca dan keadaan laut yang pasang surut.

“Ada masa, bot dan pukat rosak serta perlu dibaiki, jadi boleh gunakan wang tersebut. Selain itu ada nelayan yang guna sebagai modal berniaga ikan masin, pekasam atau belacan.

“Kalau tidak digunakan wang itu, paling elok dijadikan simpanan untuk waktu kecemasan,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia