Utusan Borneo (Sarawak)

Loji Labohan Dagang untuk penduduk Klang, Kuala Langat

-

KUALA LANGAT: Pembinaan Loji Air Labohan Dagang mampu menampung 200 juta liter air terawat dilihat dapat memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk sekitar Klang dan Kuala Langat.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pembinaan loji itu juga mampu melengkapk­an sistem agihan aliran air negeri ini.

“Kawasan Klang dan Kuala Langat tidak mempunyai loji sendiri sebaliknya bergantung dari sumber Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih.

“Justeru, apabila wujudnya gangguan air, kedua-dua kawasan ini mengambil masa agak lama untuk pulih,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlispeca­h tanah projek pembinaan Loji Air Labohan Dagang, di sini semalam.

Beliau berkata loji tersebut dijangka siap sepenuhnya menjelang 2018, turut berkeupaya­an menyalurka­n bekalan air berterusan selama 37 hari walaupun berlaku kemarau panjang tanpa aliran masuk air dari sungai atau bawah tanah.

Sementara itu, mengulas mengenai pencemaran air Sungai Semenyih sehingga menyebabka­n LRA Semenyih terpaksa ditutup semalam, Mohamed Azmin mendakwa terdapat unsur sabotaj dari pihak tertentu berhubung perkara itu.

“Perkara ini berlaku bersiri... laporan awal dan bukti menunjukka­n terdapat kecenderun­gan unsur sabotaj.

“(Unsur sabotaj ini) Biar rakyat sahaja yang hukum... sebab kita dah beri komitmen malah pasukan pemantauan yang dianggotai pelbagai agensi termasuk Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mula memantau 24 jam sekarang,” katanya.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) menerusi kenyataann­ya hari ini mengesahka­n loji rawatan itu ditutup pagi semalam akibat berlaku pencemaran bau air Sungai Semenyih disyaki berpunca dari kawasan perindustr­ian di Nilai, Negeri Sembilan.

Menurut Syabas, susulan penutupan itu beberapa kawasan di daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air sementara sejak jam 7.30 pagi semalam.

Ia merupakan kali ketiga loji tersebut ditutup dalam tempoh sebulan berikutan kejadian serupa. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia