Utusan Borneo (Sarawak)

64 ditahan di bawah POCA di P.Pinang

-

GEORGE TOWN: Seramai 64 penjenayah termasuk tujuh pemilik pusat judi di Pulau Pinang ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) sejak Januari hingga kelmarin.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata daripada jumlah itu, seramai 45 orang merupakan ahli kumpulan samseng yang aktif di negeri ini manakala selebihnya ditahan atas kesalahan berunsur kekerasan dan jenayah harta benda.

“Kesemua lelaki berusia 20 hingga 50 tahun itu ditahan menerusi Op Cantas Khas dan operasi khas yang dijalankan di seluruh Pulau Pinang sejak Januari.

“Polis juga telah kenal pasti lebih 30 lagi penjenayah di negeri ini yang akan ditahan mengikut POCA sehingga penghujung tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas Kejohanan Menembak Piala Yang di- Pertua Negeri Pulau Pinang, di sini semalam.

Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas.

Sementara itu, Abdul Ghafar berkata kes jenayah di Pulau Pinang menunjukka­n penurunan sebanyak 294 kes atau 5.4 peratus sepanjang Januari hingga kelmarin berbanding tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata sebanyak 5,142 kes dilaporkan dalam tempoh itu pada tahun ini berbanding 5,540 kes bagi tempoh sama pada 2015.

“Sejak 2009, indeks jenayah di Pulau Pinang menunjukka­n penurunan setiap tahun dan ini adalah hasil polis Pulau Pinang yang melipatgan­dakan usaha menurunkan kadar jenayah.

“Kejayaan itu juga adalah hasil rondaan dan operasi yang dijalankan polis dengan lebih kerap serta berkala. Selain itu saya turut mengucapka­n terima kasih kepada orang ramai atas kerjasama mereka menyalurka­n maklumat,” katanya.

Abdul Ghafar berkata polis turut memperting­katkan usaha membasmi kegiatan judi dalam talian menerusi beberapa operasi khas dan beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat agar menyalurka­nnya kepada pihak berkuasa. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia