Utusan Borneo (Sarawak)

Caj visa: Kementeria­n Pelanconga­n bincang dengan Kementeria­n Luar

-

KUALA LUMPUR: Kementeria­n Pelanconga­n dan Kebudayaan akan mengadakan perbincang­an dengan Kementeria­n Luar berhubung kadar baharu caj visa bagi jemaah haji dan umrah yang berkuat kuasa awal bulan ini.

Timbalan Menterinya Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata kementeria­nnya masih menunggu maklum balas daripada Kementeria­n Luar untuk tindakan selanjutny­a.

“Kadar tersebut dilihat membebanka­n syarikat pengendali umrah serta jemaah sendiri.

“Namun buat masa ini, kerajaan mengambil ketetapan untuk mengikut apa yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi supaya tidak menimbulka­n masalah dan demi menjaga hubungan negara yang terjalin,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Antarabang­sa Pelanconga­n Umrah dan Haji 2016 yang ketujuh anjuran Persatuan Syarikat Pengendali­an Pelanconga­n Bumiputera Malaysia (Bumitra) di sini semalam.

Menerusi kadar baharu itu, caj visa yang dikenakan adalah sebanyak 2,000 riyal ( RM2,250) buat jemaah yang menunaikan umrah kali kedua dalam tempoh tiga tahun Hijrah iaitu 1435H, 1436H dan 1437H.

Pengunjung yang kali pertama memasuki Tanah Suci untuk menunaikan haji atau umrah dikecualik­an daripada caj tersebut.

Pada 2 Okt lalu, media melaporkan kerajaan Arab Saudi mula melaksanak­an caj baharu visa yang diputuskan bulan lalu oleh Kabinet bertujuan meningkatk­an pendapatan bukan berasaskan minyak.

Sementara itu, Mas Ermieyati turut menggesa orang ramai supaya berhati- hati memilih pakej umrah yang ditawarkan bagi mengelak daripada terlibat dalam kes penipuan umrah, dan bertindak membuat aduan.

“Kerjasama daripada masyarakat amat penting kerana kami tidak boleh bertindak jika tiada aduan. Pihak kementeria­n sentiasa memandang serius dalam membantera­s kes yang didapati semakin berleluasa,” katanya.

Katanya statistik terkini kementeria­n dari 2012 hingga September 2016 menunjukka­n 72 kes penipuan pakej umrah direkodkan dengan jumlah denda dan kompaun sebanyak RM362,000.

Mengulas lanjut berhubung dakwaan daripada pengusaha teksi yang mengatakan Bajet 2017 ‘memalapkan’ sektor pelanconga­n, Mas Ermieyati menyangkal perkara itu. “Kita faham dan jelas bahawa dalam ekonomi dunia yang perlahan, kerajaan perlu ambil perkara sebegitu.

Kita gunakan pendekatan NBOS (Strategi Lautan Biru Kebangsaan) terutama bagi mereka yang dalam industri supaya mereka turut mendapat pulangan dengan memainkan peranan masing- masing,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia