Utusan Borneo (Sarawak)

Penduduk Mukim Pelangai membantah penerokaan Hutan Sungai Gapoi

-

BENTONG: Lebih 100 penduduk dari lima buah kampung di sekitar kawasan Pelangai mendesak kerajaan negeri supaya menghentik­an segera rancangan pembalakan di Hutan Sungai Gapoi yang dikhuatiri bakal menjejaska­n punca air untuk lebih 5,000 penduduk di kawasan sekitar.

Mereka risau hutan yang menjadi kawasan tadahan air untuk Loji Air Sungai Gapoi sejak sekian lama itu, akan tercemar disebabkan rancangan pembukaan hutan berkenaan.

Pengerusi Jawatankua­sa Kemajuan dan Keselamata­n Kampung (JKKK) Orang Asli Ulu Semie, Hihang Atong, 52, berkata selama ini lebih 56 keluarga dengan 186 penduduk orang Asli dari suku Temuan di kampung itu bergantung sepenuhnya dengan air bukit untuk kegunaan harian.

“Di hutan ini juga terdapat lima hinga enam anak sungai, mengalir ke Loji Air Sungai Gapoi yang membekalka­n air bersih kepada beribu penduduk mukim Pelangai.

“Bayangkan jika rancangan pembalakan di kawasan hutan ini masih berterusan, tidak mustahil bekalan air akan terganggu akibat pencemaran dan banjir lumpur bakal berlaku apabila menjelang musim tengkujuh nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.

Lebih merisaukan­nya, Orang Asli bakal kehilangan kawasan untuk mencari damar, akar kayu, gaharu dan daun bertam yang selama ini menjadi punca rezeki mereka untuk menampung kehidupan harian.

Beliau difahamkan kawasan hutan itu diteroka untuk tujuan pembukaan ladang hutan yang dijangka akan melibatkan kawasan 404 hektar.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati kerjakerja persediaan untuk aktiviti pembalakan telahpun dilakukan dengan jalan untuk mengangkut balak dibuka sepanjang tiga kilometer dari Kampung Orang Asli Ulu Semie.

Dua buah jengkaut juga kelihatan ditinggalk­an di kampung itu sebaik menyedari tentang rancangan penduduk untuk mengadakan bantahan pada hari ini.

Walaupun baru sedikit kawasan yang diteroka, namun kesannya sudah mula kelihatan apabila Sungai Shafie berhampira­n Kampung Orang Asli itu sudah kelihatan cetek menyebabka­n penduduk kampung resah.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Manchis Lee Ah Kow, 70, berharap kerajaan membatalka­n segera cadangan penerokaan hutan itu kerana ia bukan sahaja meninggalk­an kesan terhadap penduduk tetapi juga alam sekitar.

“Saya minta tolong kepada kerajaan supaya janganlah usik Hutan Sungai Gapoi ini. Saya tinggal di sini dari umur tiga tahun lagi, saya telah lihat banyak kemusnahan alam sekitar dan kesannya apabila hutan diusik,” katanya.

Bagi Presiden Pertubuhan Perlindung Khazanah Alam ( PEKA) Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, sudah sampai masanya kerajaan negeri Pahang menghentik­an pengeluara­n lesen pembalakan terutama melibatkan kawasan tadahan air dan hutan simpan.

“Ini selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentang­kan Bajet 2017 minggu lepas yang mahukan semua kawasan tadahan air dan hutan simpan tidak diusik dan terus dipelihara dengan kerjasama kerajaan negeri.

“Bantahan ini menunjukka­n penduduk tidak gembira dengan apa yang dilakukan, sama ada ia berlesen atau tidak, kegiatan ini perlu dihentikan kerana kita sudah kehilangan banyak hutan dan tidak mampu lagi mengalami satu lagi kehilangan,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia