Utusan Borneo (Sarawak)

Terengganu iktiraf Dr Fauziah sebagai wanita besi, sumbang RM50,000

-

KUALA NERUS: Usaha aktivis dan doktor perubatan negara yang mengikuti misi ‘ Women’s Boat To Gaza’ baru-baru ini, Dr Fauziah Hassan mendapat pengiktira­fan kerajaan Terengganu yang menganuger­ahkan Tokoh Serikandi Khaulah Al-Azwar kepadanya.

Anugerah yang disampaika­n Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman itu turut diiringi dengan wang tunai RM5,000.

Ahmad Razif berkata pihaknya turut bersetuju memberi sumbangan RM50,000 bagi menyokong usaha Dr Fauziah yang merupakan Ahli Lembaga Amanah, Humanitari­an Care Malaysia (MyCare) dan Penasihat Rose To Rose (R2R) yang berjuang membela nasib kanak-kanak dan wanita di seluruh dunia.

“Dr Fauziah merupakan anak kelahiran Terengganu dan kebanggaan kami. Beliau berani mencabar kezaliman... menjadi wakil tunggal Malaysia dan Asia yang sangat berani kerana sanggup mengambil risiko dalam menjayakan misi kemanusiaa­n ke Gaza,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program bual bicara bersama Dr Fauziah: Women’s Boat To Gaza: Catatan Pengalaman, di Stadium Tertutup Gong Badak di sini, kelmarin.

Ahmad Razif berkata perjuangan Dr Fauziah mampu membuka mata dan menjadi iktibar kepada orang lain dalam usaha mendesak hak rakyat Palestin.

Mengambil inspirasi apa yang telah dilakukan Dr Fauziah, Ahmad Razif berkata beliau akan turut serta dalam misi kemanusiaa­n Dr Fauziah ke Kemboja untuk mengkhatan­kan kanak-kanak Islam yang tidak berkemampu­an.

“Saya akan mengetuai rombongan ke Kemboja pada Dis ini bersama pakarpakar bedah dari Terengganu untuk misi berkhatan anak-anak orang Islam yang miskin di negara itu,” katanya.

Sementara itu, Dr Fauziah ketika ditemui berkata beliau bersama rakan-rakannya akan meneruskan misi kemanusiaa­n ke Gaza selagi kepungan melalui jalan laut ke Gaza tidak disekat.

“Kami telah berjanji untuk mengadakan perjumpaan pada 15 Mei tahun depan di Stockholm, Sweden untuk merancang satu lagi misi kemanusiaa­n ke Gaza,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia