Utusan Borneo (Sarawak)

Yayasan AIDS Malaysia sasar kumpul RM500,000 daripada Kuching Gala

-

KUCHING: Yayasan AIDS Malaysia (YAM) menyasar mengumpul RM500,000 daripada penganjura­n Kuching Gala pada 8 Disember depan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Pengerusi Bersama Jawatankua­sa Kerja Kuching Gala Bob Yusof berkata hasil kutipan daripada majlis itu akan digunakan bagi menubuhkan pusat penjagaan kesihatan sehenti untuk pesakit positif HIV/AIDS yang pertama di Sarawak.

Beliau berkata hanya Sarawak dan Perlis masih belum mempunyai pusat sehenti yang berfungsi sebagai pusat aktiviti, pemerkasaa­n serta kaunseling kepada pesakit positif HIV/ AIDS.

Katanya keperluan untuk mewujudkan pusat itu di negeri ini tinggi memandangk­an jumlah pesakit positif HIV menunjukka­n peningkata­n ketara setiap tahun.

“Pusat ini akan menjadi pusat sehenti dan kaunseling kepada pesakit yang positif HIV/AIDS di Sarawak lebih-lebih lagi yang berasal dari luar Kuching.

“Kita tahu ramai pesakit HIV/AIDS di Sarawak tidak berani berhadapan dengan umum kerana stigma yang masih menebal dalam kalangan mereka,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Yayasan AIDS Malaysia (YAM) Jasmin Jalil, Pengerusi Bersama Jawatankua­sa Kerja Kuching Gala Yazlan Yahya dan Pengarah Pemasaran & Jualan BCCK Premala Danapakiam.

Bob yang juga ahli Kelab Penyokong Selebriti Reben Merah berkata pada malam itu beberapa rakan selebriti akan tampil membuat persembaha­n iaitu Dayang Nurfaizah, Ziana Zain, Fahrin Ahmad, Aaron Aziz dan beliau sendiri.

“Sebelum itu, penaung Kuching Gala iaitu isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Amar akan menyampaik­an ucaptama.

“Manakala pada sebelah siangnya sambutan Hari AIDS Sedunia akan diadakan juga di BCCK, ia sarat dengan pelbagai aktiviti kesedaran selain pameran,” jelasnya.

Sementara itu Jasmin memberitah­u, selepas kes pertama HIV dilaporkan di Sarawak pada 1989, jumlahnya kes dijangkiti HIV menunjukka­n peningkata­n ketara.

Menurutnya, 26 tahun selepas kes pertama dilaporkan, setakat Disember 2015 Sarawak merekodkan jumlah kes jangkitan HIV sebanyak 2,178, AIDS 1,339 kes dan 480 kematian berkaitan HIV/AIDS.

“Kadar jangkitan di Sarawak ialah 8.7 bagi setiap 100,000 orang pada 2015.

“Walaupun jumlah itu lebih rendah berbanding kadar kebangsaan iaitu 10.9 bagi setiap 100,000 orang, kadar jangkitan di Sarawak menunjukka­n peningkata­n dari tahun ke tahun dengan 230 kes HIV positif baharu dilaporkan tahun lalu,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan kes jangkitan berlaku di Sarawak disebabkan aktiviti seksual tidak sihat dan 97.8 peratus kes pada tahun 2014 berpunca daripada kegiatan seks tidak sihat.

Mereka yang berminat boleh mendapatka­n tiket (semeja) pada harga antara RM25,000 hingga RM2,500.

Selain itu penganjur turut membuat jualan kerusi yang berharga antara RM60 hingga RM150.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia