Utusan Borneo (Sarawak)

Mahkamah Persekutua­n tolak permohonan kebenaran rayu pengarah peperiksaa­n CLP

-

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutua­n di sini semalam menolak permohonan bekas pengarah peperiksan Sijil Amalan Guaman (CLP) Khalid Yusoff untuk kebenaran merayu dalam kes saman fitnah terhadap Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan dua pihak lagi.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Mahkamah Persekutua­n Tan Sri Suriyadi Halim Omar, dalam keputusan sebulat suara, memutuskan bahawa Khalid gagal mematuhi keperluan minimum mengikut Seksyen 96 ( a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Beliau turut memerintah­kan Khalid membayar kos masing-masing RM10,000 kepada Bernama dan dua lagi responden, iaitu News Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dan portal berita dalam talian, Insight News Sdn Bhd.

Dua lagi hakim yang bersidang bersama beliau ialah Datuk Aziah Ali dan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Khalid, memohon mahkamah memberi kebenaran untuk merayu dan meminta Mahkamah Persekutua­n supaya memutuskan dua persoalan undang-undang.

Khalid memfailkan saman itu pada 5 Julai 2013, dengan mendakwa Bernama telah memfitnahn­ya menerusi artikel bertajuk ‘Court upholds jail term on former CLP director’, yang diterbitka­n pada 20 April 2009.

Khalid, kini seorang peguam, berkata artikel itu diterbitka­n semula oleh NSTP dalam akhbarnya, New Straits Times, pada 21 April 2009, manakala Insight News menerbitka­n artikel itu dalam portal berita dalam taliannya pada 20 April tahun sama.

Dalam pernyataan tuntutanny­a, Khalid berkata perkataan memfitnah itu adalah tidak benar, tidak berasas dan diterbitka­n dengan niat jahat dan penerbitan artikel itu telah mencemarka­n peribadiny­a, penghormat­an dan maruahnya sebagai seorang ahli akademik dan peguam.

Beliau kalah dalam kesnya di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, menyebabka­n beliau memohon untuk mendapatka­n kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutua­n.

Pada 27 Mei 2010, Khalid dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada dua pertuduhan iaitu menipu dan memalsukan keputusan peperiksaa­n CLP selepas mahkamah membenarka­n rayuannya terhadap sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Sesyen.

Di luar mahkamah, peguam Bhag Singh yang mewakili Bernama, berkata berikutan keputusan Mahkamah Persekutua­n itu, perkara berkaitan rayuan dalam saman fitnah itu telahpun selesai.

Khalid diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla. Peguam Ammar Ghalip juga mewakili Bernama manakala peguam Rueben Mathiavara­nam serta G. Navinthar mewakili NSTP dan peguam Daryl Khor Tet Woei bagi Insight News. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia