Utusan Borneo (Sarawak)

Bekas penuntut kolej dipenjara miliki bahan berkaitan pengganas

-

KUALA LUMPUR: Bekas penuntut sebuah kolej dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Tinggi semalam selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki bahan berkaitan dengan kumpulan pengganas.

Pesuruhjay­a Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman memerintah­kan tertuduh Muhammad Hanif Ismail, 31, menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap 24 Mac tahun ini.

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan, bagaimanap­un dia hanya perlu menjalani hukuman penjara selama dua tahun sahaja selepas hakim memerintah­kan hukuman itu berjalan serentak.

Ab Karim dalam penghakima­nnya berkata hukuman penjara adalah sesuai bagi menggambar­kan keseriusan kesalahan yang berkaitan dengan kumpulan pengganas.

“Walaupun kesalahan yang dilakukan hanya bermula den- gan memiliki bahan berkaitan pengganas tetapi ia akan membuka kepada keganasan sebenar dan ia berlaku tanpa sempadan,” katanya.

Bagi kedua-dua pertuduhan, Muhammad Hanif didakwa melakukan kesalahan itu di pekarangan Wangsa Walk Mall, Jalan Wangsa Delima 12, Wangsa Maju, pada jam 1.20 pagi, 24 Mac lepas, dan di rumah beralamat Lot 3764, Kampung Baru Bukit Lada, Kampung Awah, Temerloh, Pahang, pada jam 12 tengah hari hingga 1.20 tengah hari, 26 Mac lepas.

Tertuduh yang masih bujang dan merupakan pemegang diploma perniagaan didakwa mengikut Seksyen 130JB(10(a) Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item berkenaan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian Muhammad Hanif telah ditahan oleh pihak polis di pekarangan Wang Walk Mall, dan dia kemudianny­a telah membawa polis ke sebuah rumah di Taman Setapak.

Tertuduh juga telah membawa polis ke rumah keluargany­a di Temerloh, Pahang, dan polis menjumpai beberapa bahan antaranya pelekat berwarna hitam putih disyaki logo kumpulan pengganas IS atau Daesh dan satu unit pemacu pena.

Terdahulu, peguam Ahmad Nizam Hamid yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhka­n hukuman ringan kerana anak guamnya telah mengaku salah dan insaf dengan perbuatann­ya dan penglibata­nnya hanya kerana ingin tahu.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam memohon mahkamah menjatuhka­n hukuman setimpal dan bersifat pengajaran kepada tertuduh atas alasan kesalahan itu adalah serius kerana kegiatan pengganas yang semakin berleluasa. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia