Utusan Borneo (Sarawak)

Seorang lelaki maut dalam letupan di stesen minyak

-

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki maut dalam kejadian letupan dipercayai berpunca daripada tangki gas asli untuk kenderaan (NGV) di sebuah stesen minyak di Taman Mount Austin, di sini, petang semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Johor Bahru Lt (PA) Mohd Aziz Jupri berkata mangsa, Mohd Faizal Mazlan, 33, pekerja stesen minyak berkenaan dipercayai berada berhampira­n dengan tangki berkenaan ketika ia meletup.

Beliau berkata panggilan kecemasan diterima pada jam 3.01 petang dan seramai 13 anggota Angkatan Perta- hanan Awam Malaysia (APM) beserta sebuah ambulans, sebuah Toyota Hilux dan dua motor dikejarkan di tempat kejadian.

“Belum dapat dipastikan lagi punca, masih dalam siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat... kita dapati tangki NGV meletup,” katanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa oleh pihak polis ke Hospital Sultan Ismail.

Sementara itu, seorang saksi kejadian, Lum Chee Hong, 30, yang tinggal di pangsapuri berhampira­n stesen minyak itu berkata beliau terdengar letupan pada kira-kira jam 2.53 petang.

“Ketika kejadian, saya sedang mendengar lagu, tiba-tiba satu letupan kuat kedengaran, lalu saya bergegas keluar untuk melihat apa yang terjadi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Lum yang berada di tingkat lima pangsapuri berkenaan kemudian ternampak api marak di stesen minyak berkenaan dan orang ramai berhampira­n kawasan itu turut keluar melihat kejadian.

Dia juga melihat pihak bomba membawa keluar mangsa dari tempat kejadian dan memadamkan api yang sedang marak di tangki berkenaan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia