Utusan Borneo (Sarawak)

Tragedi yang tidak dapat dilupakan

-

JOHOR BAHRU: Suasana kelam-kabut dan asap tebal yang menyelubun­gi Wad Neurologi akibat kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) pagi semalam menjadi satu pengalaman mencemaska­n yang tidak mungkin dapat dilupakan beberapa pesakit di hospital berkenaan.

Keadaan yang pada awalnya agak huru-hara bagaimanap­un terkawal dengan tindakan cekap jururawat dan petugas hospital menenangka­n serta memberi arahan jelas kepada para pesakit di wad untuk keluar menyelamat­kan diri.

Melahirkan rasa syukur kerana selamat daripada bencana lebih buruk, beberapa pesakit di wad itu berkongsi detik kejadian yang mencemaska­n.

N. Jatish, 28, tidak menyangka kejadian itu berlaku pada hari terakhirny­a menjalani rawatan sakit batu karang setelah lima hari mendapat rawatan di Wad Neurologi, yang terletak di tingkat tiga HSA.

Ketika kejadian, Jatish yang ditemani anggota keluarga sedang menunggu surat kebenaran keluar hospital daripada doktor dan berasa hairan melihat asap memenuhi ruang wad dan menjadi semakin tebal.

“Masa itu, keadaan agak huru-hara dan panik. Kemudian kedengaran arahan meminta kami (para pesakit) turun melalui tangga dan memakai penutup hidung dan mulut sebelum dibawa keluar ke kawasan selamat,” katanya ketika ditemui Bernama di se- buah bilik sementara di Blok A (Anggerik) HSA.

Jatish berkata beliau sempat membantu seorang warga emas yang berada di katil sebelahnya sebelum mereka bersama-sama turun melalui tangga dan keluar dari bangunan itu.

Sementara itu, Muhadzir Lewon, berkata ketika kejadian beliau sedang menunggu giliran untuk rawatan dialisis di Wad Neurologi.

“Saya berada di sebuah bilik khas sebagai persediaan untuk menjalani rawatan harian dialisis kerana sakit buah pinggang,” katanya.

Bagaimanap­un, beliau berasa hairan kerana tiada jururawat atau petugas yang berada di bilik itu untuk memeriksan­ya, lalu keluar untuk melihat apa yang berlaku.

Sejurus keluar dari bilik itu, dia mendapati keadaan wad gelap dan dipenuhi asap.

“Tiba-tiba, saya diarahkan memakai penutup hidung dan mulut lantas diminta bergerak keluar melalui tangga oleh jururawat bertugas sebelum dibawa ke kawasan selamat,” kata penjawat awam berusia 39 tahun itu.

Pada kebakaran yang bermula jam 8.56 pagi itu, enam pesakit, terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki maut. Mereka adalah antara tujuh pesakit di ICU berkenaan manakala seorang pesakit lagi ditemui selamat dan masih dirawat di HSA.

Dua kakitangan HSA dihantar ke Hospital Sultan Ismail manakala seorang kakitangan dirawat di HSA akibat terhidu asap. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia