Utusan Borneo (Sarawak)

Guna Wad Diraja, usaha baik pulih dilakukan segera: Titah Sultan Ibrahim

-

JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menitahkan supaya Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah ( HSA) digunakan untuk merawat pesakit berikutan kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu semalam.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata baginda turut menitahkan usaha- usaha membaik pulih hospital berkenaan dilakukan segera.

“Baginda turut meminta satu laporan penuh mengenai kejadian kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah yang mengorbank­an enam nyawa hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui pemberita di HSA, di sini.

Wad Diraja HSA itu terletak di tingkat empat sebelah timur bangunan HSA manakala wad ICU terletak di selatan tingkat dua hospital berkenaan.

Terdahulu, Mohamed Khaled mengiringi Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah yang berkenan melawat dan melihat sendiri HSA susulan kejadian kebakaran itu.

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofia, yang tiba di pekarangan hospital kira-kira jam 12.40 tengah hari, diberi taklimat oleh Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Hajah Rooshaimi Merican dan kemudianny­a dibawa melihat lokasi kejadian kebakaran.

Baginda berdua yang meluangkan masa kira- kira 30 minit itu, turut diiringi Menteri Besar Johor dan isterinya Datin Seri Rosni Omar serta barisan Exco kerajaan negeri.

Sementara itu, Mohamed Khaled menyifatka­n tragedi itu sebagai iktibar kepada semua pihak dan pengajaran bahawa kemalangan boleh berlaku di mana-mana.

Daripada insiden itu, menurutnya mungkin ada perkara yang boleh dipelajari bagi mengelakka­n ia berlaku lagi pada masa depan.

“Daripada taklimat diberi bomba, mangsa- mangsa menggunaka­n alat pernafasan dan disebabkan itu, mereka tidak boleh bergerak ataupun berada dalam keadaan tidak sedar dan itu mungkin menjadi punca (mereka maut),” katanya.

Mohamed Khaled berkata pihaknya memberikan kepercayaa­n sepenuhnya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri untuk menjalanka­n siasatan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia