Utusan Borneo (Sarawak)

Masyarakat sambut baik penambahan jumlah BR1M

-

SANDAKAN: Penambahan jumlah bagi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentang­an Bajet 2017, baru-baru ini, telah mendapat maklum balas yang positif dalam kalangan rakyat khususnya para penerima.

Menerusi pembentang­an itu, BR1M kepada isi rumah dalam senarai e-Kasih dan berpendapa­tan bulanan di bawah RM3,000 akan dinaikkan dari RM1,050 dan RM1,000 kepada RM1,2000.

Manakala, BR1M kepa- da isi rumah berpendapa­tan RM3,000 hingga RM4,000 akan dinaikkan dari RM800 kepada RM900.

Dan, BR1M bagi individu bujang berpendapa­tan bawah RM2,000 akan dinaikkan dari RM400 kepada RM450.

Bagi Saria Matnoor, 65, pengagihan bantuan itu yang dimulaikan sejak empat tahun lalu telah banyak membantu golongan sepertinya untuk menjalani rutin harian dengan lebih baik.

“Saya menggunaka­n duit BR1M untuk membeli barang keperluan rumah. Selain itu, sebahagian daripadany­a saya jadikan sebagai modal bagi menambah barang jualan di kedai runcit yang saya usahakan secara kecil-kecilan.

“Sebagai salah seorang penerima BR1M sejak ia mulai diperkenal­kan pada 2013, saya amat berterima kasih dengan inisiatif kerajaan ini. Dengan beberapa penambahba­ikan yang dilaksanak­an dari tahun ke tahun, saya percaya objektif bantuan ini mencapai sasarannya,” katanya.

Sementara itu, bagi Asdiana M, 27, penambahan jumlah bantuan itu bagi pengagihan akan datang, jelas menunjukka­n kerajaan peka dengan keluhan rakyat berhubung peningkata­n kos taraf hidup semasa.

“Sebagai penerima bagi kategori bujang, saya amat bersyukur kerana jumlah bantuan ditambah lagi RM50. Meskipun jumlah itu tidaklah sebesar mana, namun ia amat bermakna bagi golongan memerlukan seperti saya.

“Seperti tahun sebelum ini, dengan adanya BR1M, saya boleh membeli barang keperluan harian selain digunakan untuk membantu ibu bapa menjelaska­n bayaran bil utiliti,” jelasnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia