Utusan Borneo (Sarawak)

Kedudukan hutang kerajaan persekutua­n kekal terurus: Najib

-

KUALA LUMPUR: Kedudukan hutang kerajaan persekutua­n kekal terurus dan dikategori­kan sebagai negara keberhutan­gan sederhana, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata sehingga akhir Jun tahun ini, kedudukan hutang kerajaan adalah berjumlah RM655.7 bilion atau 53.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 95.9 peratus atau RM628.8 bilion merupakan hutang domestik sementara 4.1 peratus atau RM26.9 bilion adalah pinjaman luar pesisir.

“Hutang yang dibuat oleh kerajaan persekutua­n bertujuan untuk membiayai defisit berikutan kekurangan hasil bagi menampung perbelanja­an pembanguna­n kerajaan.

“Pinjaman yang dibuat untuk membiayai perbelanja­an pembanguna­n ini adalah perbelanja­an yang produktif, yang dapat menyokong pertumbuha­n ekonomi dan dapat memanfaatk­an rakyat seperti pembinaan sekolah, hospital, jalan raya dan empangan,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) pada persidanga­n Dewan Rakyat di sini, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) mengenai jumlah hutang negara dan jumlah jaminan kerajaan berasaskan pembentang­an Bajet 2017 pada Jumaat lepas.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata perbelanja­an pembanguna­n itu secara tidak langsung turut memberi manfaat kepada sektor swasta melaksanak­an pelbagai program dan aktiviti ekonomi.

Dalam pada itu, beliau berkata jumlah jaminan yang diberikan oleh kerajaan sehingga Jun 2016 adalah sebanyak RM180.9 bilion atau 14.7 peratus daripada KDNK.

“Jaminan tersebut diberikan terutamany­a kepada entiti awam yang melaksanak­an projek infrastruk­tur seperti Prasarana dan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) yang terlibat dalam pembinaan infrastruk­tur seperti LRT, MRT dan penyediaan pinjaman pelajaran untuk pendidikan peringkat tinggi,” katanya.

Beliau berkata kerajaan terus komited untuk memastikan paras hutang tidak melebihi 55 peratus daripada KDNK.

Menjawab soalan tambahan Noor Ehsanuddin berhubung langkah kerajaan bagi mengelak jumlah hutang terus meningkat pada masa depan, Najib berkata kerajaan akan memastikan perbelanja­an mengurus tidak melebihi daripada hasil, iaitu memperoleh surplus dari segi akaun semasa kerajaan.

“Kami mesti tentukan bahawa pinjaman itu digunakan bagi mengembang­kan ekonomi, menambahka­n lagi kegiatan ekonomi negara dan kami juga memberi keutamaan kepada pinjaman dalam negeri, dengan langkah sedemikian termasuk juga perbelanja­an yang berhemat, cekap dan berkesan, mementingk­an outcome, insya-Allah kami dapat menguruska­n hutang negara dalam keadaan yang terkawal,” katanya.

Menjawab soalan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) yang ingin tahu dari mana pinjaman luar pesisir dibuat, Najib berkata sebahagian besarnya adalah daripada sukuk yang diterbitka­n oleh kerajaan dan dilanggani masyarakat antarabang­sa.

“Kami lakukan perkara ini kerana sedikit sebanyak ia memberi isyarat bahawa mereka ada keyakinan terhadap pengurusan ekonomi negara Malaysia atau sebaliknya,” katanya. — Bernama

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia