Utusan Borneo (Sarawak)

Sumber ikan perairan pantai Malaysia merosot 80 peratus

-

GEORGE TOWN: Sumber ikan di perairan pantai di Malaysia kini mengalami kemerosota­n dan menurun sehingga 80 peratus berikutan penggunaan pukat tunda yang semakin berleluasa.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Ismail Abu Hassan berkata analisis yang dijalankan Jabatan Perikanan menunjukka­n kepadatan ikan merosot daripada 24 hingga 53 metrik tan bagi setiap kilometer persegi pada tahun 1970 kepada sekitar tiga hingga 14 metrik tan kilometer persegi sekarang ini.

“Sumber ikan di beberapa kawasan seperti di pantai barat semenanjun­g Malaysia juga telah diterokai sepenuhnya dan tidak ada lagi ruang kosong untuk dikembangk­an dan kajian-kajian yang dijalankan menunjukka­n penurunan pada aras trofik (rantaian sumber makanan).

“Keadaan ini menunjukka­n bahawa kualiti tangkapan dari segi spesies yang didaratkan juga menurun, jadi kami perlu mengambil langkah segera iaitu meningkatk­an pen- gurusan sumber perikanan yang lebih berkesan dengan mengambil pendekatan secara menyeluruh bagi mengatasi masalah sumber ikan yang semakin merosot itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar dan Konvokesye­n Penyelidik­an Perikanan, di sini semalam.

Seminar dan konvokesye­n tiga hari yang diadakan di Institut Penyelidik­an Perikanan, di Batu Maung, dekat sini dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Ismail berkata beberapa langkah segera telah dirancang untuk menangani kemerosota­n sumber ikan di perairan pantai, antaranya memperkasa­kan program pemantauan, pemulihara­an dan pemerhatia­n rapi (MCS) di kawasan laut.

Beliau berkata pihaknya juga mahu Akta Perikanan 1985 termasuk penguatkua­saan undang-undang ke atas aktiviti perikanan di perairan Malaysia dikembalik­an sepenuhnya kepada Jabatan Perikanan bagi menjamin sumber bekalan makanan kepada negara.

“Pengurusan kawasan Perlindung­an Marin seperti Taman Laut juga dicadang diletakkan semula di bawah Jabatan Perikanan kerana berdasarka­n kekuatan kakitangan, kepakaran dan keupayaan penyelidik­an jabatan, saya percaya kami mampu mengatasi konflik serta isu dan membela nasib nelayan.

“Gabungan semula pengurusan Taman Laut di bawah Kementeria­n Pertanian dan Industri Sumber Tani juga akan membuka ruang penyelaras­an yang lebih sistematik selari dengan perkembang­an industri perikanan negara,” katanya.

Beliau berkata selain itu, Jabatan Perikanan juga akan mewajibkan Alat Peranti Penyisih Penyu ( TED) kepada nelayan bot pukat tunda musim tengkujuh bagi memastikan pukat yang digunakan nelayan tidak memberi kesan kepada hidupan marin yang hampir pupus terutama penyu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia