Utusan Borneo (Sarawak)

Jenazah tiga beranak maut dalam kemalangan selamat dikebumika­n

-

IPOH: Tiga beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 3.5, Jalan IpohLumut di selekoh Puncak Jelapang Maju di sini awal pagi semalam selamat dikebumika­n petang semalam.

Muhammad Syafiq Isyammuddi­n, 25, dan dua anaknya Umrah Yumna, 2, dan Aniq Hamzah, 1, dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya di sini kira-kira jam 2.15 petang.

Anak beranak itu meninggal selepas kereta jenis Mitsubishi Triton yang dipandu Muhammad Syafiq terlibat dalam kemalangan dengan dua lagi kenderaan pada jam 1.15 pagi semasa mereka dalam perjalanan dari Ipoh menuju Seri Iskandar.

Kemalangan turut mengakibat­kan isteri Muhammad Syafiq, Nurul Nadia Baharizan, 28, serta nenek Muhammad Syafiq iaitu Khalijah Samad, 79, yang kedua-duanya cedera parah dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Dua lelaki berusia 25 dan 34 yang menaiki kereta Toyota Camry turut cedera parah sementara empat orang lain yang berumur lingkungan 22 hingga 29 tahun yang menaiki kereta Mazda tidak mengalami kecederaan.

Bapa kepada Nurul Nadia, Kolonel Baharizan Zainal Abidin, 55, berkata anak sulungnya itu yang patah kaki dan tangan serta mengalami pendarahan pada hati terkejut apabila mengetahui suami serta dua orang anaknya meninggal dunia.

“Semasa kami membawa kedua-dua jenazah anaknya ke wad kecemasan, anak saya yang masih berada dalam separuh sedar terlalu sedih dan tidak menyangka suami serta anak- anaknya telah meninggal dunia.

“Saya sebagai bapa menasihatk­an dia supaya banyakkan bersabar dan menerima ket- entuan Ilahi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengebumia­n itu.

Baharizan berkata kali terakhir beliau berjumpa dengan anak, menantu serta kedua-dua cucunya ialah pada Aidiladha lalu dan mereka sepatutnya pulang ke Kuala Lumpur minggu depan untuk berjumpa dengannya.

Beliau reda dengan pemergian menantu serta kedua-dua cucunya itu. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? SEDIH: Jenazah Umrah Yumna, 2, diriba neneknya sebelum dikebumika­n di Tanah Perkuburan Meru Raya, Ipoh semalam.
— Gambar Bernama SEDIH: Jenazah Umrah Yumna, 2, diriba neneknya sebelum dikebumika­n di Tanah Perkuburan Meru Raya, Ipoh semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia