Utusan Borneo (Sarawak)

Penghargaa­n khas ‘tunggu’ Faiz Subri

Jaringan pemain Pulau Pinang itu dicalonkan antara 10 gol tercantik Anugerah Puskas

-

YANGON: Persatuan Bola Sepak Malaysia ( FAM) akan memberi penghargaa­n khas kepada penyerang Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri sekiranya beliau memenangi Anugerah Puskas Persekutua­n Bola Sepak Antarabang­sa ( FIFA) di Zurich, Switzerlan­d pada 9 Jan depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia ( FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata badan induk itu amat berbangga dengan jaringan Mohd Faiz yang disenaraik­an antara 10 jaringan terbaik bagi anugerah berkenaan yang mula diperkenal­kan pada 2009 oleh FIFA sebagai gol tercantik sepanjang tahun.

“(Pencalonan) ini merupakan satu perkara baik untuk bola sepak Malaysia kerana jaringan ini telah mendapat perhatian dalam media sosial dan FIFA,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

“Saya berharap jaringan ini dapat memenangi anugerah Puskas dan sekali lagi kita ingin mengucapka­n tahniah kepada Mohd Faiz Subri di atas pencalonan ini,” jelas Hamidin yang juga Pengurus skuad Harimau Malaysia.

Beliau pada masa sama menjelaska­n jaringan tersebut sepatutnya menjadi pembakar semangat pemain dalam Liga Malaysia untuk memburu anugerah yang sama pada masa akan datang.

FIFA menerusi laman web rasminya, www. fifa. com pada Isnin memaklumka­n gol cantik Mohd Faiz merupakan 10 jaringan yang disenarai pendek bagi melalui proses awal pemilihan sebelum melalui peringkat kedua untuk Anugerah Puskas FIFA.

Selain jaringan cantik Mohd Faiz yang dilakukan pada perlawanan Liga Super antara Pulau Pinang dan Pahang di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada 16 Feb lepas, turut tersenarai ialah gol bintang Barcelona, Lionel Messi dari Argentina.

Peminat bola sepak boleh membuat undian terhadap jaringan pilihan mereka bermula semalam menerusi laman web FIFA sehingga 2 Disember ini.

Tiga jaringan terbaik yang mendapat undian terbanyak akan melalui undian sekali lagi dan pemenang akan diumumkan pada Anugerah Bola Sepak FIFA di Zurich pada 9 Jan depan.

FAM pada 22 Feb lepas, menghantar permohonan rasmi kepada FIFA bagi mencadangk­an agar gol dijaringka­n pemain berusia 29 tahun itu dipertimba­ngkan untuk anugerah tersebut.

Gol yang melencong cantik sebelum menerjah gawang lawan itu, menerusi sepakan percuma dari jarak kira-kira 32 meter pada perlawanan Liga Super ketika Pulau Pinang bertemu Pahang awal tahun ini, dan menjadi viral di media sosial kerana keunikan jaringan tersebut.

Selepas diumum berjaya menempah tempat dalam senarai akhir Anugerah Puskas Persekutua­n Bola Sepak Antarabang­sa (FIFA) tahun ini, Mohd Faiz nyata terkejut apabila namanya tersenarai sebaris pemain profession­al lain seperti Neymar dan Lionel Messi.

Mohd Faiz ketika dihubungi Bernama berkata beliau tidak pernah meletakkan harapan yang tinggi untuk menang, namun sebagai nama tunggal dari Malaysia yang tersenarai, beliau berharap kejayaanny­a dapat mengharumk­an nama negara.

“Pada hemat saya, anugerah ini merupakan pengiktira­fan tertinggi sepanjang kerjaya saya sebagai pemain bola sepak,” katanya.

“Sudah semestinya bukan mudah untuk bersaing dengan pemain-pemain ternama dunia, namun menang atau kalah ia tetap membakar semangat saya untuk menjadi seorang pemain yang lebih baik,” kata Mohd Faiz yang kini bercuti bersama keluargany­a di Kedah. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? LASAK: Faiz Subri (kiri) diasak keras oleh pemain Terengganu Vincent Bakana ( tengah) pada perlawanan Liga Super 2016 di Stadium Bandaraya dalam gambar fail bertarikh 22 Oktober 2016.
— Gambar Bernama LASAK: Faiz Subri (kiri) diasak keras oleh pemain Terengganu Vincent Bakana ( tengah) pada perlawanan Liga Super 2016 di Stadium Bandaraya dalam gambar fail bertarikh 22 Oktober 2016.
 ??  ?? HAMIDIN
HAMIDIN

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia