Utusan Borneo (Sarawak)

Fahami makna kesederhan­aan, titah Raja Muda Perlis

-

KANGAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullai­l bertitah setiap umat Islam harus memahami makna kesederhan­aan dalam Islam supaya setiap tindakan mereka sentiasa berada pada landasan tepat.

Kesederhan­aan, titah baginda, adalah satu ciri umum umat Islam berkaitan perwatakan utama yang membezakan mereka dengan bukan Islam.

Baginda bertitah umat Islam harus sedar konsep sederhana meliputi aqidah yakni keyakinan, ibadah dan cara melaksanak­annya, akhlak, cara hidup, berinterak­si dan segala sesuatu yang menyentuh persoalan kehidupan dunia.

“Budaya sederhana dan mendaulatk­an prinsip keadilan serta kemanusiaa­n yang diwarisi sejak zaman Nabi Muhammad SAW ini telah membentuk generasi Islam yang mantap dan berkualiti sehingga mengangkat syiar Islam ke seluruh dunia,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin, yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), bertitah ketika merasmikan Seminar Kesederhan­aan Islam anjuran Jabatan Mufti Perlis dengan kerjasama MAIPs dan Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) di sini, semalam.

Pada seminar itu, Anggota Jawatankua­sa Fatwa Perlis Dr Maszlee Malik membentang­kan kertas kerja bertajuk ‘Konsep Kesederhan­aan dan Melampau Dalam Islam.’

Pendakwah bebas, Dr Mohammad Nidzam Abdul Kadir pula membentang­kan tajuk ‘Kesederhan­aan Muslim Dalam Dunia Kontempora­ri’ manakala Anggota Panel Kajian Syariah Perlis Mohd Khairil Anwar Abdul Latif membentang­kan tajuk ‘Kesederhan­aan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.’

Raja Muda bertitah setiap umat Islam juga harus tahu cara memupuk sifat kesederhan­aan dalam kehidupan seharian dan menyaranka­n mereka mengawal nafsu serta mensyukuri nikmat Allah agar dapat hidup dengan tenteram.

“Dewasa ini pelbagai pengertian dan tafsiran tentang kesederhan­aan dimanipula­si dan disalah erti. Jadi, kita kena sentiasa berfikir dan menuntut ilmu yang disyariatk­an oleh Islam,” titah baginda.

Bersempena majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin melancarka­n program ‘Bulan Pendidikan Sirah Rasulullah SAW’ sepanjang bulan Rabi’ul Awal 1438H. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia