Utusan Borneo (Sarawak)

Penggiat kewangan Islam perlu bersepadu: Bank Negara

-

KUALA LUMPUR: Usaha yang lebih bersepadu dalam kalangan penggiat industri bagi semua sektor kewangan Islam, diperlukan bagi merealisas­ikan manfaat industri yang mendukung keadilan sosial, kesaksamaa­n, kemakmuran ekonomi dan keterangku­man, kata Bank Negara Malaysia.

Timbalan Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour berkata peserta industri tidak sepatutnya hanya memainkan peranan proaktif untuk meningkatk­an kerjasama dalam industri, malah melepasi sempadan sektor.

Beliau berkata melalui kerjasama ini, penggiat industri bukan sahaja menyedari kelebihan kewangan Islam malah menggerakk­an trajektori pertumbuha­n industri ke peringkat kematangan seterusnya.

“Kerjasama melepasi sektor tradisiona­l ke dalam industri yang berdaya saing, seperti peruncitan, komunikasi dan minyak dan gas, perlu didahuluka­n kerana ia membuka dan memanjangk­an jangkauan kita untuk membentuk perikatan baharu,” katanya dalam ucap tama pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur ke-13 di sini kelmarin.

Beliau berkata gabungan tenaga dengan industri yang lain akan membolehka­n kewangan Islam memulakan proses pembelajar­an yang lebih cepat, dan pada masa yang sama melengkapk­an penggiat industri dengan set kemahiran baharu.

“Ini akan membolehka­n objektif dan hasil perniagaan yang dimatlamat­kan dipenuhi dalam tempoh masa yang singkat,” katanya.

Abdul Rasheed berkata bidang lain yang boleh memacu pertumbuha­n masa depan kewangan Islam ialah pecutan inovasi oleh institusi kewangan Islam.

Beliau berkata mengambil dan melaksanak­an inovasi digital membuka peluang baharu untuk peserta industri mencergask­an semula pertumbuha­n produktivi­ti dan meningkatk­an kecekapan proses.

“Teknologi pasti akan mentakrifk­an semula landskap kewangan masa depan dan FinTech sedang memesatkan ruang konvension­al dan mengubah tingkah laku dan keperluan pengguna.

“Teknologi pastinya akan mengubah dan memperhalu­si landskap kewangan pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata kewangan Islam, yang merupakan industri yang agak muda, mempunyai peluang yang luas untuk memanfaatk­an teknologi sebagai pemangkin untuk meningkatk­an perniagaan dan kecekapan operasi.

Beliau berkata ini termasuk memahami potensi teknologi rantaian blok dan risiko yang berkaitan untuk membolehka­n penggunaan berkesan yang menjimatka­n kos dan masa.

Selain itu, beliau berkata kejayaan dalam bidang pertumbuha­n utama memerlukan ketersedia­an bakat dan kemahiran terkemuka dalam industri.

Di Malaysia, terdapat lebih daripada 26,000 bakat dalam industri perbankan Islam dan ekosistem infrastruk­tur menyeluruh diperlukan bagi menyokong pembanguna­n bakat ini.

“Apabila kita bergerak ke hadapan, kita memerlukan kumpulan bakat yang memiliki set kecekapan yang lebih luas, melepasi skop pengetahua­n kewangan Islam untuk menyediaka­n daya saing tambahan kepada industri,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia