Utusan Borneo (Sarawak)

Mahkamah Rayuan tolak rayuan KPN, Ismail Sabri batal saman Nurul Izzah

-

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini semalam menolak rayuan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membatalka­n saman fitnah difailkan terhadap mereka oleh Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh memutuskan kes saman itu perlu diteruskan untuk perbicaraa­n penuh di Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O’Hara membuat keputusan yang betul dalam menjalanka­n budi bicaranya apabila menolak untuk membatalka­n saman itu.

Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham.

Khalid dan Ismail Sabri mengemukak­an rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Jun lepas yang menolak permohonan mereka untuk membatalka­n saman fitnah itu.

Nurul Izzah, yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai, memfailkan saman itu selepas mendakwa Khalid mengeluark­an kenyataan memfitnah terhadapny­a pada sidang media di ibu pejabat polis Bukit Aman pada 22 Nov, tahun lepas.

Beliau turut mendakwa Ismail Sabri telah mengeluark­an kenyataan memfitnah terhadapny­a pada hari sama dalam satu acara di Bera, Pahang.

Dalam pernyataan tuntutanny­a, Nurul Izzah berkata kenyataan itu dibuat oleh Khalid dan Ismail Sabri beberapa hari selepas tersiarnya gambar beliau bersama-sama Jacel Kiram, anak perempuan Jamalulail Kiram.

Dalam pernyataan tuntutanny­a, Nurul Izzah mendakwa perkataan fitnah itu antara lain, menggambar­kan beliau terlibat dalam dalang insiden penceroboh­an Sulu di Sabah pada 2013.

Mahkamah Tinggi menetapkan 8 Mei hingga 11 Mei tahun depan untuk perbicaraa­n.

Peguam Kanan Persekutua­n Alice Loke yang mewakili Khalid dan Ismail Sabri memberitah­u pemberita bahawa Jabatan Peguam Negara akan mempertimb­angkan sama ada untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutua­n.

Peguam R. Sivarasa dan Shahid Adli Kamarudin mewakili Nurul Izzah. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia