Utusan Borneo (Sarawak)

Pemuda maut ditikam bapa dalam pergaduhan di Seri Alam

-

JOHOR BAHRU: Seorang pemuda maut ditikam bapanya dalam satu pergaduhan di rumah mereka di Seri Alam, dekat sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Jokhiri Abd Aziz berkata dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa yang berusia 23 tahun, mati ditikam menggunaka­n pisau semasa pertengkar­an dengan bapanya.

Beliau berkata pertengkar­an itu yang turut disaksikan ibu mangsa, berakhir selepas mangsa maut akibat ditikam sekali dengan pisau di bahagian dada sebelah kiri manakala bapanya cedera dua tikaman dengan pisau iaitu di bahagian dada kiri dan di bahagian perut.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala bapanya selamat dan stabil,” kata Jokhiri dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata pihak polis terpaksa mengambil masa lebih kurang sejam di tempat kejadian untuk berunding dan memujuk suspek sebelum dia ditangkap kerana masih berada di tempat kejadian iaitu di ruang tamu rumah bersama mangsa dan isteri suspek.

Sebaik ditahan, pihak polis terus membawa suspek yang berusia 54 tahun itu mendapatka­n rawatan dan pemeriksaa­n di Hospital Sultan Ismail Johor Bahru.

“Pihak polis tidak menolak kemungkina­n motif kejadian itu disebabkan perselisih­an faham yang telah lama berlarutan dalam keluarga itu, khasnya berkaitan kekangan kewangan untuk menyara kehidupan keluarga,” kata Jokhiri.

Tambahnya, hanya ibu mangsa yang bekerja sebagai pembantu kantin di sebuah kilang manakala bapa dan mangsa tidak bekerja manakala tiga adik mangsa masih bersekolah.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Suspek akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia