Utusan Borneo (Sarawak)

RUU 355: Sesi taklimat bermula hangat, namun diterima akhirnya, kata TPM

-

BANGI: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam mendedahka­n sesi taklimat khas Rang Undang-Undang (RUU) persendiri­an bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) untuk Ahli Parlimen beragama Islam di Parlimen semalam, berlangsun­g dalam suasana ‘hangat’ pada mulanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata namun, keadaan itu tidak berlanjuta­n apabila kesemua Ahli Parlimen berkenaan menerima penjelasan kerajaan bahawa RUU 355 adalah berkaitan usaha memartabat­kan bidang kuasa Mahkamah Syariah, bukannya mengenai pelaksanan Hudud, seperti yang dibimbangi sebahagian mereka.

“Walaupun negara kita cuba dipetak-petakkan dengan pelbagai fahaman, kita beruntung kerana atas nama Islam semua Ahli Parlimen beragama Islam boleh mengetepik­an fahaman, pegangan dan ideologi politik untuk duduk bersama dan berbincang.

“Pada peringkat awal, sesi berlangsun­g agak hangat kerana mereka kurang faham tetapi apabila penjelasan dibuat, mereka pula sebaliknya mengatakan mengapa penjelasan tidak dibuat dari dahulu, dan kita pula berkata kenapa mereka tidak tanya dari dulu,” katanya sambil disambut tepukan hadirin.

Beliau menyatakan demikian semasa berucap merasmikan Simposium Tahfiz Al-Quran Peringkat Antarabang­sa sempena sambutan jumbli emas Darul Quran Ke-50 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Tan Seri Othman Mustapha.

Ahmad Zahid berkata taklimat khas itu diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dihadiri Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN), PAS, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH). — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia