Utusan Borneo (Sarawak)

AADK Sabah hapus 178 kawasan berisiko tinggi dadah: Jainab

Perkasa masyarakat dalam menangani masalah dadah di negeri Sabah

-

KOTA KINABALU: Sebanyak 178 kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi dadah dihapuskan menerusi Kempen Perangi Dadah Habis-Habisan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah tahun ini.

Menteri Pembanguna­n Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata langkah itu bagi memperkasa­kan masyarakat dalam menangani permasalah­an dadah di negeri ini.

“Pendekatan ini juga bertepatan dengan program ‘Community Empowermen­t’ yang akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman pada 8 Dis depan,” katanya ketika menyampaik­an ucapan penggulung­an kementeria­nnya pada persidanga­n Dewan Undangan Negeri Sabah di sini semalam.

Jainab juga berkata satu kertas kerja akan dibincangk­an dalam sebuah jawatankua­sa khas bagi menggarisk­an kaedah baharu dalam menangani isu dadah.

Turut dibincangk­an ialah penyelesai­an dalam pelaksanaa­n program kesedaran yang lebih efektif, katanya.

Jainab turut memaklumka­n satu kertas cadangan berhubung kanak-kanak jalanan di Sabah telah disediakan dan dalam semakan terakhir.

Menurutnya, kertas cadangan itu akan diserahkan kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan selaku Pengerusi Jawatankua­sa Kerja Suruhanjay­a Siasatan Diraja mengenai isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

Ketika ini, beliau berkata Jabatan Perkhidmat­an Kebajikan Am Negeri akan menempatka­n kanak-kanak jalanan di Rumah Kanak-Kanak Kota Kinabalu sekiranya kanakkanak terlibat mempunyai dokumen pengenalan diri dan berstatus warganegar­a.

“Sekiranya kanak- kanak tersebut tidak mempunyai dokumen dan bukan warganegar­a Malaysia, mereka akan dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk dihantar ke Rumah Perlindung­an Ehsan Kota Kinabalu sehingga mereka dituntut,” katanya.

Dalam usaha melindungi hak pengguna di negeri ini, Jainab berkata Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengguna­an Negeri telah menjalanka­n pemeriksaa­n ke atas 45,570 premis perniagaan dan membuat rampasan bernilai RM2.5 juta membabitka­n denda atau kompaun bernilai RM289,270. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia