Utusan Borneo (Sarawak)

Qunut Nazilah Jumaat ini untuk umat Islam Rohingya

-

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meminta semua masjid dan surau mengadakan Qunut Nazilah pada solat Jumaat, 25 Nov ini, untuk umat Islam Rohingya di Myanmar.

Ketua Pengarahny­a Tan Sri Othman Mustapha berkata Qunut Nazilah akan dibaca semasa solat Jumaat di semua masjid utama JAKIM iaitu Masjid Negara Kuala Lumpur, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini serta semua masjid dan surau di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutua­n.

JAKIM juga memohon kerjasama semua masjid di seluruh negara untuk turut sama mengadakan Qunut Nazilah yang sunat dibacakan ketika umat Islam dilanda bencana atau ditimpa musibah seperti ketakutan dan wabak, katanya dalam kenyataan di sini semalam.

JAKIM memandang serius kezaliman yang berlaku terhadap masyarakat Islam Rohingya di Myanmar yang diseksa dan dibunuh di Rakhine, Myanmar, katanya.

“Ini adalah merupakan suatu bentuk pencabulan hak asasi manusia dan penghinaan terhadap umat Islam minoriti di Myanmar,” tegas beliau.

Othman berkata isu itu telah berlarutan dalam tempoh lama dan masyarakat Islam Rohingya masih belum mendapat pembelaan sewajarnya.

Isu itu juga mendapat perhatian pelbagai pihak di peringkat antarabang­sa termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), katanya.

Sehubungan itu, JAKIM menyeru semua pihak untuk memanjatka­n doa agar masalah dihadapi masyarakat Islam Rohingya dapat diselesaik­an segera. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia