Utusan Borneo (Sarawak)

Lima korban tanah runtuh di New Caledonia

-

NOUMEA: Mangsa kelima disahkan mati semalam selepas hujan lebat menyebabka­n tanah runtuh di wilayah Perancis New Caledonia, tatkala tiga lagi masih hilang.

Hujan membadai kepulauan terpencil di Pasifik Selatan sejak hujung minggu lepas, menyebabka­n dua banjir lumpur di kawasan Houailou, kira-kira 235 kilometer barat laut ibu kota Noumea, awal kelmarin.

Mayat seorang lelaki ditemui semalam di kawasan pergununga­n Gouareu, satu daripada dua komuniti terpencil yang terjejas teruk akibat bencana itu, di mana seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dan wanita berusia 60 tahun disahkan mati kelmarin.

Seorang lagi kanak-kanak berusia tujuh tahun dan wanita dalam lingkungan usia 30an, juga ditemui mati di sebuah kawasan berhampira­n.

Pasukan penyelamat, termasuk pasukan perubatan tentera dan 30 anggota tentera, dikerahkan untuk mencari mereka yang masih hilang.

Hujan selebat kira-kira 400 milimeter turun di kawasan pergununga­n dalam tempoh 12 jam sebelum kejadian tanah runtuh berlaku.

Rangkaian jalan raya di kepulauan itu terjejas teruk tetapi bekalan elektrik yang pada awalnya terputus, sudah dipulihkan semula ke sekitar separuh Houailou, kata pegawai tempatan.

“Kami tidak pernah melihat sesuatu seperti ini. Ia adalah bencana alam terburuk pernah melanda New Caledonia,” kata Datuk Bandar Houailou, Pascal Sawa. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia