Utusan Borneo (Sarawak)

Arahan untuk tidak sokong Akta 355 tidak lagi terpakai

-

KUCHING: Keputusan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sarawak untuk menyokong atau tidak pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) bergantung kepada kandungan dibincangk­an dalam Jawatankua­sa Pemilihan Parlimen.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata memandangk­an semalam merupakan hanya pembentang­an Rang Undang-Undang Persendiri­an oleh Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang, keputusan dan arahan sebelum ini untuk tidak menyokong adalah tidak lagi terpakai.

Keputusan itu diambil selepas penjelasan diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan tidak ada proses perbahasan dan pengundian dilakukan pada persidanga­n Dewan Rakyat kali ini menerusi pertemuan mereka semalam.

“Oleh kerana hari ini tidak ada pengundian atau perbahasan, semua Ahli Parlimen dari Sarawak tidak akan mengambil sikap (pendirian) apa-apa.

“Apabila perkara ini dibawa kepada jawatankua­sa pemilihan bagi mengkaji perkara ini dengan membabitka­n semua parti dan lepas itu kita boleh memberi keputusan muktamad menyokong atau tidak.

“Buat sementara waktu tidak ada pengundian dan perbahasan,” katanya pada sidang media bersama Zahid di Pejabat Ketua Menteri, Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Adenan sebelum ini dilaporkan memberi arahan kepada Ahli Parlimen BN dari Sarawak agar tidak menyokong pindaan itu, seperti dimaklumka­n oleh Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian kepada media kelmarin.

Mengenai jika pindaan itu menjurus kepada pelaksanaa­n hukum hudud, Adenan menegaskan pendirian sebelum ini tetap dipegang ‘tidak ada hudud di Sarawak’.

“Timbalan Perdana Menteri sudah menjelaska­n ini (rang undang-undang) bukan hudud,” katanya.

Zahid sebelum itu menjelaska­n kepada media, Rang Undang- Undang Persendiri­an yang dijadual dibentang Abdul Hadi semalam bukan rang undang-undang yang dibawa kerajaan.

Ini bermakna proses tersebut tidak membawa kepada pindaan, kecuali selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak setuju untuk menubuhkan Jawatankua­sa Pemilihan Parlimen bagi membincang­kan dan menjelaska­n kandungan pindaan.

Sebelum itu Perdana Menteri akan mengadakan perbincang­an dengan presiden parti-parti komponen BN.

Beliau menasihati orang ramai agar tidak keliru dengan proses sebelum undangunda­ng tersebut dipinda.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia