Utusan Borneo (Sarawak)

Khalid Samad cuba diserang kira-kira 20 orang di Parlimen

-

KUALA LUMPUR: Kirakira 20 orang kelihatan cuba menyerang Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad di pekarangan Parlimen semalam.

Kumpulan lelaki dan wanita yang memakai pas pelawat itu kelihatan memang berada di situ sebelum Khalid tiba lagi dan cuba mendekati Khalid sebaik sahaja beliau keluar dari kenderaann­ya untuk menuju ke lobi Parlimen kira-kira jam 11 pagi semalam.

Mereka melemparka­n pelbagai cemuhan terhadap Khalid dan kelihatan ada yang cuba mendekati Khalid.

Pasukan sekuriti Parlimen, bagaimanap­un, berjaya mengawal keadaan dan mengiringi Khalid memasuki Dewan Rakyat manakala kumpulan itu dibawa keluar meninggalk­an kawasan berkenaan.

Mereka dipercayai bertindak demikian ekoran rasa tidak puas hati terhadap Khalid yang mengeluark­an kata-kata kesat terhadap Ahli Parlimen Pasar Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sewaktu perbahasan di Dewan Rakyat dua hari lepas.

Khalid dikatakan mencerca Tajuddin setelah beliau (Tajuddin) didakwa mengeluark­an perkataan kurang sopan terhadap Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok semasa perbahasan itu.

Sementara itu ketika diminta mengulas kejadian tersebut, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata satu penyiasata­n perlu dilakukan kerana Parlimen merupakan kawasan larangan yang berada di bawah kawalan Pejabat Ketua Pegawai Keselamata­n Kerajaan Malaysia (CGSO).

“Sekiranya seseorang atau mana-mana kumpulan ingin masuk ke Parlimen, mereka perlu dijemput sama ada oleh ahli Parlimen atau penjawat awam dan perlu berdaftar di pintu pagar Parlimen.

“Ini merupakan suatu perkara yang serius kerana seorang ahli Parlimen telah diancam oleh mereka. Jadi, satu penyiasata­n perlu dilakukan segera,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen berkata beliau akan berjumpa dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk membuat laporan mengenai insiden itu.

“Kita akan pergi berjumpa ( Pandikar) dan membuat laporan dengan rakan-rakan lain supaya mereka yang datang dengan niat untuk bertindak ganas itu akan diambil tindakan khususnya oleh pihak polis,” kata Khalid.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata polis telah mengenal pasti 10 individu yang disyaki terlibat dalam insiden itu dan meminta mereka tampil membantu siasatan. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? TEMU BUAL: Annuar bercakap pada temu bual bersama wartawan Bernama di Ibu pejabat MARA di Kuala Lumpur semalam.
— Gambar Bernama TEMU BUAL: Annuar bercakap pada temu bual bersama wartawan Bernama di Ibu pejabat MARA di Kuala Lumpur semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia