Utusan Borneo (Sarawak)

Mufti Perlis sedih negara Islam membisu terhadap Rohingya

-

KANGAR: Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin kesal dan amat sedih apabila negara-negara Islam membisu tentang keganasan dilakukan terhadap umat Islam di Arakan, Myanmar.

Katanya, keadaan di negara itu semakin teruk apabila golongan wanita dan gadis dirogol sementara lelaki dan kanak-kanak dibunuh setiap hari tanpa mengenal perikemanu­siaan.

Beliau turut mempersoal­kan peranan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) terhadap isu kesengsara­an yang menimpa etnik Rohingya di Myanmar termasuk kuasakuasa besar lain yang sering melaungkan keamanan sejagat.

“Umat Islam di negara itu cuba dihapuskan secara kejam iaitu dibunuh dan kediaman mereka dibakar setiap hari,” katanya semasa menyampaik­an kuliah mingguan di Masjid Alwi di sini malam kelmarin.

Beliau berkata jika orang bukan Islam dianiaya sedemikian, masyarakat di seluruh dunia termasuk umat Islam pasti membantah, inikan pula apabila sesama Islam yang menjadi mangsa.

Jika ada laungan simpati terhadap kekejaman itu yang kedengaran ketika ini, ia hanya di peringkat badanbadan bukan kerajaan (NGO) sahaja.

Sehubungan itu, Mohd Asri berkata pihaknya telah mengedar surat kepada semua masjid di negeri ini meminta diadakan qunut nazilah setiap kali selepas solat fardu memohon diselamatk­an umat Islam di Myanmar daripada kekejaman tentera di negara tersebut. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia