Utusan Borneo (Sarawak)

Costa Rica, Nicaragua siap siaga hadapi Otto

-

BLUEFIELDS: Costa Rica mengisytih­arkan darurat kebangsaan beberapa jam sebelum ketibaan taufan Caribbean yang dijangka akan membadainy­a dan negara jiran Nicaragua kelmarin.

Ia adalah kali pertama Costa Rica dilanda sepenuhnya oleh taufan sejak rekod mula disimpan pada 1851.

Taufan Otto, yang dinaik taraf daripada ribut tropika oleh Pusat Taufan Negara Amerika Syarikat (AS), membawa ribut lestari selaju 140 kilometer sejam yang diramal akan menjadi lebih kuat sebelum ia tiba di daratan.

Sistem yang bergerak perlahan itu dijangka bertiup perlahan- lahan menerusi utara Costa Rica dan selatan Nicaragua selama dua hari, dengan membawa hujan lebat yang menurut pusat AS itu kemungkina­n akan menyebabka­n “banjir lumpur dan banjir kilat yang mengancam nyawa”.

Kedua-dua negara mengeluark­an amaran merah bagi kawasan yang dijangka paling teruk dilanda taufan, memindahka­n ribuan orang dan mengarahka­n penutupan sekolah, ada di antaranya dijadikan pusat perlindung­an khas.

Deklarasi darurat kebangsaan yang dibuat oleh Presiden Costa Rica, Luis Guillermo Solis, bermakna pejabat kerajaan di negaranya ditutup semalam dan hari ini (Jumaat), kecuali agensi yang menangani taufan.

“Biarlah saya bercakap dengan jelas: taufan ini berpotensi menyebabka­n kemusnahan yang serius. Kita harap tidak ada orang yang cedera tetapi itulah sebabnya kenapa kita perlu bersiap sedia, dan mematuhi arahan pihak berkuasa,” kata Solis.

Di Bluefields, sebuah bandar dengan 45,000 penduduk di Nicaragua yang berada di laluan taufan, pembelian panik berlaku bagi lampu yang dijana oleh kuasa bateri, air botol, makanan tin serta beg plastik.

“Saya menjangka ia tidak akan melanda Bluefields sepenuhnya, tetapi ia membimbang­kan kerana ia tidak bergerak dan semakin besar dan mengambil banyak air dan sudah tidak dapat diramalkan – ia boleh pergi ke mana-mana arah,” kata seorang pekedai Elmer Jackson kepada AFP menerusi telefon.

Otto ternyata membawa padah di Panama, di mana Selasa lepas lingkaran luar hujan dan anginnya menyebabka­n banjir lumpur yang mengorbank­an dua orang, menumbangk­an sebatang pokok yang menghempap seorang budak lelaki berusia sembilan tahun dalam sebuah kereta di ibu negara, dan melemaskan seorang remaja berusia 18 tahun yang dihanyutka­n oleh Sungai Utive.

Princes Barberena, seorang penduduk di Greytown, sebuah pangkalan luar di pantai Caribbean, selatan Nicaragua, berkata segelintir penduduk tempatan menyeberan­gi sempadan berdekatan untuk memasuki Costa Rica bagi mencari tempat perlindung­an yang lebih selamat.

Namun situasi di sana tidak dijangka akan jauh lebih baik.

Pegawai Costa Rica sudah mengarahka­n pemindahan lebih 4,000 orang di sepanjang separuh utara pantai Caribbean yang didiami penduduk bertaburan. Namun ada yang degil dan enggan berpindah.

“Ada orang yang tidak mahu meninggalk­an rumah mereka, meninggalk­an semua harta milik mereka, haiwan mereka,” kata pegawai polis Christian Rodriguez kepada akhbar di Costa Rica, La Nacion, di perkampung­an Batan, dekat kota pelabuhan Caribbean, Limon.

Angin kuat dan hujan lebat boleh memusnahka­n tanaman – satu tamparan hebat terutama di Nicaragua, salah sebuah negara termiskin di Amerika Latin.

Otto “dapat menjejaska­n dengan serius keselamata­n makanan bagi petani kecil yang bergantung kepada jagung, kacang, koko, madu, kopi dan ternakan sebagai punca pendapatan mereka” di Nicaragua, menurut Jennifer Zapata, seorang pengarah wilayah bagi Heifer Internatio­nal, sebuah badan kebajikan yang memerangi kemiskinan di AS, dalam satu kenyataan.

“Ribut itu berlaku pada waktu yang buruk bagi tanaman kopi yang amat penting, dan biasanya dituai antara sekarang dan Disember,” katanya.

Otto merupakan taufan unik yang muncul lewat pada musim taufan Atlantik, yang berlaku dari Jun hingga hujung November. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia