Utusan Borneo (Sarawak)

Mourinho puji kekuatan ‘The Blues’

-

LONDON, England: Keupayaan Chelsea untuk mencipta kemenangan demi kemenangan menjadikan ia sukar untuk kelab lain mengejar mereka dalam saingan Liga Perdana Inggeris, menurut pengurus Manchester United, Jose Mourinho. United, yang belum tewas dalam lapan perlawanan liga terakhir selepas dibelasah 0-4 oleh Chelsea di Stamford Bridge, berada di tangga keenam dengan 30 mata dari 17 perlawanan. Mereka kini 13 mata di belakang pendahulu liga, Chelsea, yang juga enam mata di hadapan pencabar terdekat di tangga kedua, Liverpool.

“Anda harus bersikap jujur dan berkata sesuatu yang sukar. Ia bukan hanya perbezaan dari segi mata, ia juga falsafah permainan Chelsea,” kata beliau ketika memberitah­u media British tentang peluang pasukannya memenangi kejuaraan.

“Mereka menjaringk­an satu gol dan kemudian menang. Mereka banyak bertahan. Mereka bertahan dengan baik. Mereka tidak kisah apa yang orang lain kata, apa yang orang lain fikir. Mereka hanya mahu kemenangan. Dan kerana itu, saya tidak melihat mereka akan tercicir banyak mata.”

United merapatkan jurang di belakang pasukan di tangga keempat, Arsenal, dengan empat mata selepas tiga kemenangan berturut- turut dan Mourinho agak keberatan untuk meramal di mana pasukannya akan menamatkan musim ini.

“Kita lihat di mana semuanya berakhir. Saya tidak mahu berkata di tangga keempat kerana saya fikir kami boleh melakukan yang lebih baik dari tangga keempat,” tambah beliau.

“Tetapi kami mempunyai risiko tidak menamatkan saingan di tangga keempat kerana saingannya sangat kuat dan pasukan lain juga mempunyai cita-cita seperti kami. Jadi saya tidak mahu berkata di tangga keempat, ketiga atau kelima.

United akan menanti kunjungan Sunderland, pasukan di tangga ke-18 liga pada hari Isnin. — Reuters

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia