Utusan Borneo (Sarawak)

Tunang maut nahas, coklat dan bunga hadiah terakhir

-

MUAR: Hasrat seorang pekerja kilang untuk melangsung­kan perkahwina­n pada hujung bulan depan tidak kesampaian apabila tunangnya maut dalam nahas melibatkan sebuah bas ekspres di Kilometer 137.3, Lebuh Raya Utara-Selatan di Pagoh arah ke utara awal pagi semalam.

Mohd Hanizan Othman, 30, berkata beliau dan tunangnya Nor Saidatul Akmal Idris, 21, merancang untuk berkahwin semasa cuti sambutan Tahun Baru Cina pada 29 Jan depan.

“Segala persiapan perkahwina­n di pihak perempuan termasuk kad jemputan kahwin sudah siap dicetak, cuma tunggu untuk diedarkan sahaja.

“Perkahwina­n di pihak saya pula dirancang pada Mac depan,” katanya kepada pemberita di Unit Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini semalam.

Mohd Hanizan dari Pontian berkata beliau dan Nor Saidatul Akmal merupakan rakan sekerja di sebuah kilang elektronik di Senai di mana mereka mula berkenalan lebih setahun lepas.

Beliau berkata tunangnya yang berasal dari Kota Tinggi menaiki bas berkenaan bersama seorang rakan wanitanya untuk menghadiri satu majlis perkahwina­n di Negeri Sembilan hari ini.

“Kali terakhir saya berkomunik­asi dengan Nor Saidatul Akmal ialah kira-kira jam 7 malam tadi (kelmarin) menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS). Saya tidak menghantar­nya ke Terminal Larkin Sentral kerana dia memberitah­u akan menumpang kenderaan tunang rakannya,” katanya.

Mohd Hanizan berkata, beliau mula berasa tidak sedap hati apabila Nor Saidatul Akmal tidak menjawab beberapa panggilan telefon dan SMS yang dihantarny­a sejak malam kelmarin.

Beliau pada mulanya mendengar berita mengenai kemalangan bas berkenaan dari seorang rakannya pagi semalam.

“Saya membuat keputusan untuk pergi ke Negeri Sembilan. Saya kemudianny­a menerima panggilan telefon dari abang Nor Saidatul Akmal mengenai nahas itu kirakira 11 pagi tadi (semalam),” katanya.

Beliau berkata Nor Saidatul Akmal memberinya hadiah coklat dan bunga sempena sambutan hari jadinya pada 15 Dis lepas.

“Itulah hadiah terakhir yang saya terima daripadany­a. Dia tidak pernah berbuat demikian sepanjang kami berkenalan,” katanya.

Sementara itu ibu Nor Saidatul Akmal, Laila Kasbi, 61, berkata kali terakhir beliau berhubung dengan anaknya ialah melalui WhatsApp yang anaknya memaklumka­n bas yang dinaikinya akan lewat sampai di Johor Bahru.

“Dia pesan pada makcik suruh makcik tidur dahulu sebab bas yang dia akan naik sepatutnya sampai di Terminal Larkin Sentral pada tengah malam, namun bas itu lambat dan dijangka sampai dalam jam 1 pagi.

“Subuh tadi (semalam) saya buat beberapa kali panggilan kepadanya tetapi tidak berjawab. WhatsApp saya pun dia tidak balas. Saya mulai risau,” jelasnya. Laila berkata beliau hanya mengetahui mengenai kemalangan itu melalui laporan berita di televisyen.

“Makcik cuba buat panggilan pada rakannnya Nur Amira Izzaty Razip yang bersamanya tetapi dia juga gagal dihubungi,” katanya yang kemudianny­a menerima berita kemalangan itu daripada pihak polis.

Nor Saidatul Akmal merupakan anak bongsu daripada lima beradik dan tinggal di asrama kilang tempatnya bekerja sejak tiga bulan lepas, kata ibunya.

Nahas tersebut mengorbank­an 14 orang termasuk pemandu bas sementara 16 lagi cedera.

Bas itu yang dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju Kuala Lumpur dilapor terjunam ke dalam cerun sedalam 10 meter. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia