Utusan Borneo (Sarawak)

K’jaan Johor rakam takziah, simpati kepada keluarga mangsa nahas bas

-

MUAR: Kerajaan negeri Johor menzahirka­n rasa simpati dan merakamkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas bas ekspres yang mengorbank­an 14 nyawa di Km137.3, Lebuhraya UtaraSelat­an arah utara berdekatam kawasan rehat dan rawat Pagoh, awal pagi semalam.

Ucapan simpati dan takziah itu disampaika­n oleh Pengerusi Jawatankua­sa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ayub Rahmat.

Beliau turut mengesa pihak yang berkaitan untuk mengenal pasti punca dan tindakan drastik perlu diambil bagi mencegah kejadian sama daripada berulang.

“Sudah banyak kali kemalangan bas berlaku... pemandu bas yang melibatkan perjalanan jauh perlu menjalani pemeriksaa­n kesihatan enam bulan sekali.

“Pihak berkuasa juga perlu mewajibkan ada seorang pembantu pemandu bas yang berkelayak­an di samping memastikan keadaan bas sentiasa diselengga­ra dan dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

Ayub berkata beliau yakin Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini, mampu menguruska­n 16 mangsa yang cedera dalam kemalangan itu kerana mempunyai kepakaran dan peralatan mencukupi.

Sementara itu, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menzahirka­n rasa dukacita dengan insiden kemalangan bas ekspres itu.

Menerusi kenyataan di sini, hari ini, beliau turut merakamkan rasa simpati dan takziah kepada seluruh anggota keluarga mangsa yang terlibat.

“Saya merakamkan rasa dukacita di atas kejadian yang menimpa para penumpang bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan jalan raya awal pagi tadi berhampira­n Pagoh.

“Salam takziah kepada seluruh anggota keluarga mangsa yang terkorban di dalam nahas tersebut,” katanya sambil berharap anggota keluarga bersabar dan tabah menerima dugaan berkenaan.

Beliau turut mendoakan mereka yang tercedera dalam kejadian itu kembali pulih seperti sedia kala. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia