Utusan Borneo (Sarawak)

Masih tiada jalan penyelesai­an bagi pemilik rumah dilelong

-

KUALA LUMPUR: Budi baik seorang individu melepaskan rumah yang dimenangi dalam bidaan yang viral baru-baru ini, dilihat tidak menyelesai­kan masalah pinjaman bank yang ditanggung pemilik rumah di Subang 2, dekat sini itu.

Wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Nor, 42, berkata meskipun Lee Hui Sen telah membayar wang pendahulua­n sebanyak RM44,500, namun ia tidak menjanjika­n harapan baharu bagi menyelesai­kan masalah yang membelengg­gu keluargany­a sejak 2014.

“Saya terpaksa terima hakikat rumah ini akan dimiliki oleh orang lain suatu hari nanti walau lelongan itu memang menyakitka­n kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui Bernama dekat sini, semalam.

Bagaimanap­un Nor amat berterima kasih atas sikap perikemanu­siaan Lee yang sanggup mengalami kerugian asalkan beliau sekeluarga masih boleh mendiami rumah itu.

“Saya ada alamat rumah Lee melalui peguamnya, tetapi saya tak berhasrat untuk mencarinya kerana bagi saya ia tidak menyelesai­kan masalah kami sekeluarga,” katanya.

Menceritak­an mengenai rumah teres dua tingkat itu yang diduduki sejak 2001, Nor dan suaminya mem- buat pinjaman berjumlah RM225,500 melalui sebuah bank bagi rumah yang berharga RM250,000 itu.

“Ketika itu, kehidupan kami bermula dengan baik, namun selepas berhenti kerja pada 2009 dan memulakan perniagaan kecil- kecilan, perniagaan kami berdepan masalah di luar jangkaan dan tidak mampu untuk membayar ansuran pinjaman bank,” katanya.

Ibu kepada dua anak perempuan itu berkata urusan dengan bank juga semakin sulit selepas suaminya diisytihar­kan muflis pada 14 Julai 2014.

Beliau kini boleh dikatakan tersepit untuk membayar baki pinjaman bank yang tertunggak dan dalam masa sama perlu membayar bulanan kepada Jabatan Insolvensi.

Nor berkata, mereka sekeluarga juga malu kerana notis lelongan rumah turut diedarkan melalui peti surat rumah jiran-jirannya.

Nor menjelaska­n menerima notis pengisytih­aran jualan lelong rumah yang pertama pada 4 Julai 2014 dan lelongan terakhir kali keempat pada 30 Mei lepas yang dibida oleh Lee.

Menurutnya, beliau juga telah menerima surat perintah keluar rumah daripada peguam bank pada 7 Jun lepas dan kini hanya mampu menunggu takdir dalam kehidupann­ya sekeluarga.

Berhubung tabung bantuan kewangan khas yang akan dilancarka­n Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) seperti yang dilaporkan Bernama kelmarinba­gi membantu keluargany­a, Nor yang jelas tergambar kesugulan di wajahnya itu berkata: “Saya tidak tahu nak cakap apa”. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia