Utusan Borneo (Sarawak)

Anggota penyelamat kongsi kisah cemas, hiba

-

SUNGAI PETANI: Biarpun 12 tahun sudah berlalu, namun pengalaman bertugas mencari dan menyelamat dengan berdepan suasana cemas dan hiba sewaktu tragedi tsunami melanda Kota Kuala Muda, masih terpahat jelas dalam ingatan anggota penyelamat.

“Saya berasa sayu dengan apa yang dilihat dengan mata sendiri, rumah musnah, harta benda hilang sekelip mata, tidak pernah jangka tragedi seperti ini akan berlaku kerana belum pernah terjadi tsunami di Malaysia,” kata Leftenan Mohd Zuki Othman.

Mengimbas kembali detik cemas pada tanggal 26 Dis 2004 itu, beliau yang ketika itu Ketua Unit Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPA3) Daerah Kuala Muda, berkata selepas mendapat panggilan daripada polis kira-kira jam 1 petang, beliau terus mengarahka­n empat anggotanya dari Seksyen Peninjau ke lokasi.

“Mereka ialah Sarjan Hasrul Mohd Heary Halim, 37 (ketika itu berpangkat Lans Koperal), Koperal Zaimee Zainuddin, 37 (Lans Koperal), (Prebet) Azwan Fitri Abdul Rahman, 37, dan (Prebet) Bakri Mat, 62.

“Ketika anggota lain sedang berkumpul untuk bertolak ke lokasi, mereka memaklumka­n bahawa operasi SAR sudah dijalankan, dan setibanya kami di sana, kami mula menjalanka­n tugas mengikut arahan polis,” katanya kepada Bernama.

Bersempena memperinga­ti ulang tahun ke-12 tragedi yang mengorbank­an 11 nyawa penduduk di situ, wartawan Bernama menjejaki anggota berkenaan yang kini dikenali Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), yang bertugas dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) ketika itu.

Mohd Zuki, 57, yang ketika itu mengetuai Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di situ, berkata, selain JPA3 dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga turut berada di lokasi.

“Masing-masing ditugaskan mengikut kawasan dan JPA3 diarahkan ke kawasan yang agak teruk dilanda ombak tsunami, iaitu sekitar Kampung Kepala Jalan sehingga ke Kampung Tepi Sungai.

“Selain menyertai operasi SAR, kami turut memasak makanan untuk mangsa yang ditempatka­n di pusat-pusat pemindahan sementara,” katanya.

Tambahnya, beliau bersama kira-kira 20 anggota lain berkampung hampir sebulan di lokasi serta bergotong-royong membersihk­an kawasan rumah penduduk yang diselaputi lumpur tebal. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? KENANGAN PAHIT: Lima anggota APM Daerah Kuala Muda menjadi antara 20 anggota yang bertugas ketika Kota Kuala Muda dilanda ombak besar tsunami.
— Gambar Bernama KENANGAN PAHIT: Lima anggota APM Daerah Kuala Muda menjadi antara 20 anggota yang bertugas ketika Kota Kuala Muda dilanda ombak besar tsunami.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia