Utusan Borneo (Sarawak)

Mayat warga emas lumpuh di bawah timbunan runtuhan

-

SUNGAI PETANI: Kenangan membawa keluar mayat wanita warga emas yang lumpuh dari bawah timbunan bangunan yang musnah akibat tsunami 12 tahun lalu masih segar dalam ingatan seorang anggota penyelamat.

Sarjan Hasrul Mohd Heary Halim, 37, dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang dulunya dikenali sebagai Jabatan Pertahan Awam ( JPA3) mengakui detik menyayat hati di Kota Kuala Muda itu masih kekal dalam ingatannya sehingga ke hari ini.

“Saya cuba tarik mayat mangsa dari belakang namun bahagian depannya dihimpit tiang konkrit...hanya selepas dialihkan, baharu mayat wanita yang lumpuh itu dapat dikeluarka­n,” kata Hasrul.

Mengimbas kembali detik 26 Dis 2004 itu, Hasrul berkata selepas selesai bertugas sebagai Pembantu Am Rendah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bedong, beliau diminta meninjau keadaan di Kota Kuala Muda yang dikatakan dibadai ombak besar.

“Saya yang ketika itu berpangkat Lans Koperal bersama tiga rakan setugas, Mohd Zaimee (Zainuddin), Azwan Fitri (Abdul Rahman) dan Bakri (Mat), bergegas ke lokasi walaupun masih tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku memandangk­an cuaca baik pada hari itu,” katanya kepada Bernama di sini, kelmarin.

Menurutnya, mereka yang menaiki dua motosikal tiba di hadapan Balai Polis Kota Kuala Muda tidak lama kemudian dan ternampak beberapa bungkusan plastik hitam berisi mayat yang ditempatka­n di situ selain mangsa-mangsa yang cedera serta diselaputi lumpur.

“Sebaik mendapat kebenaran memasuki zon merah iaitu zon bencana, taklimat sedang dijalankan di Pusat Kawalan Tempat Kejadian untuk mencari dua lagi mangsa wanita dan kami kemudianny­a dipecahkan kepada dua kumpulan.

“Saya bersama Azwan dan anggota agensi lain ditugaskan mencari wanita warga emas bernama Tempawan Khamis berusia 74 tahun yang lumpuh dan dipercayai terperangk­ap dalam rumahnya,” katanya.

Dalam nada sebak, Hasrul berkata, mereka bergegas ke rumah wanita itu di Kampung Tepi Sungai dengan ditunjukka­n suaminya, namun malangnya apa yang tinggal hanyalah lantai simen dan tiang batu diselaputi lumpur.

“Runtuhan rumah papan dihanyutka­n ke hutan nipah sejauh 20 meter, bersama runtuhan rumah penduduk lain dan disitulah kami menggeleda­h dan menemui tangan mangsa di celah kayu.

“Setelah runtuhan kayu dialihkan, baharulah kelihatan mayat mangsanya yang kelihatan bersih tanpa dipalit lumpur dan disahkan sebagai isteri lelaki itu,” katanya.

Menurutnya operasi itu berjaya menemukan kedua-dua mayat menjadikan keseluruha­n mangsa yang maut seramai 11 orang selain satu lagi mayat lelaki tanpa identiti yang turut ditemui terdampar di pantai, dipercayai dihanyutka­n dari Pulau Pinang.

Bagi seorang lagi anggota APM, Sarjan Mohd Salleh Wahab, 48, dia yang berpangkat prebet ketika itu mempunyai urusan di Alor Setar sewaktu dimaklumka­n mengenai bencana tersebut.

“Menggigil badan saya mengenangk­an keadaan dua anak saya yang berada di rumah ibu mentua di Kota Kuala Muda. Selain ibu mentua, abang ipar dan saudara lain juga ada di sana. Selepas menghantar ketua unit dan anggota lain ke lokasi, saya meminta izin menjengah keadaan mereka.

“Walaupun kembali tenang selepas dimaklumka­n anak saya, Fatin Hasbila, 8, dan adiknya, Fatin Umairah, 8, selamat dan berada di bandar Sungai Petani bersama bapa saudara mereka sewaktu kejadian, saya sayu melihat rumah ibu mentua dan abang ipar hanya tinggal lantai simen,” katanya.

Beliau bagaimanap­un lega kerana abang iparnya sempat menyelamat­kan ibu mentuanya walaupun rumah dan harta benda lain musnah.

“Rumah sepupu isteri saya turut terjejas menyebabka­n ibunya meninggal dunia, bahkan terdapat beberapa rumah saudara terdekat di situ, juga musnah.

“Apabila mengenang kembali peristiwa itu, saya menjadi sebak dan hiba, selain berdoa agar ia tidak berulang lagi,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia