Utusan Borneo (Sarawak)

Anggota polis cedera semasa operasi cegah jenayah di Miri

-

MIRI: Seorang anggota polis cedera semasa mengejar suspek yang cuba melarikan diri semasa operasi mencegah jenayah di Bukit Kanada petang kelmarin.

Ketua Polis Miri ACP Khoo Leng Huat berkata, sebelum kejadian berlaku anggota polis yang berpangkat Lans Korporal berusia 28 tahun bersama dua rakan setugasnya telah menahan seorang penunggang motosikal, lelaki rakyat tempatan berusia 20tahun.

“Suspek cuba ditahan di lampu isyarat berhampira­n sebuah pusat membeli-belah di Jalan Miri Pujut jam 3.30 petang semalam (kelmarin) kerana motosikal tidak memiliki nombor pendaftara­n depan dan belakang,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Khoo berkata, apabila diminta untuk menyerahka­n kad pengenalan dan lesen memandu suspek enggan berbuat demikian dan terus memecut ke arah Bukit Kanada dan pihak polis mengejar suspek.

Beliau berkata, semasa menuruni Bukit Kanada suspek terbabas melanggar bahu jalan dan jatuh manakala mangsa cuba mengelak turut terjatuh.

“Mangsa mengalami kecederaan di bibir, bahu kiri serta kanan dan seluruh badan manakala suspek luka di kedua-dua siku,” katanya.

Beliau berkata, motosikal ronda jenis Honda yang digunakan oleh mangsa turut mengalami kerosakan dan siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang oleh suspek adalah milik ibunya.

“Suspek telah dibawa ke Hospital Miri untuk mendapat rawatan dan kini ditahan di lokap,” katanya sambil menambah saman trafik dikeluarka­n ke atas suspek kerana tidak memiliki lesen memandu B2 dan tidak mempamerka­n nombor pendaftara­n depan dan belakang.

Beliau berkata, suspek turut disiasat atas kesalahan menghalang penjawat melakukan tugas di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Mangsa telah mendapat rawatan di Hospital Miri dan diberi cuti sakit,” katanya lagi. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia