Utusan Borneo (Sarawak)

Tiga kenderaan terbakar, pemandu lori alami kerugian lebih RM60,000

-

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu lori rugi lebih RM60,000 apabila dua kenderaan miliknya iaitu sebuah kereta dan motosikal hangus terbakar di hadapan rumahnya di Taman Cahaya Masai, Pasir Gudang, dekat sini awal pagi Ahad lepas.

Abdul Aziz Ali, 32, berkata kejadian itu turut mengakibat­kan sebuah motosikal jenis Honda Wave milik adik iparnya yang singgah menginap di rumahnya, hangus.

“Pada ketika itu, saya sedang tidur di ruang tamu dan isteri saya tidur di bilik tingkat atas bersama adik perempuann­ya.

“Saya terbangun pada jam 3.50 pagi selepas mendengar penggera kereta berbunyi dan apabila buka pintu rumah, saya nampak kereta itu sedang terbakar.

“Kami tidak dapat lari keluar dari rumah sebab api yang marak dan saya kemudian terus menghubung­i bomba. Api turut memasuki rumah dan memusnahka­n mesin jahit, baju-baju anak saya, langsir dan sofa,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut Abdul Aziz, dia kini menumpang di rumah kakak iparnya di Kota Masai selepas rumahnya tidak sesuai dihuni ketika ini.

Menurut Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Sharudin Saari, ketika pihaknya tiba di lokasi kejadian, api masih marak sehingga meninggalk­an kesan kebakaran di struktur luar rumah.

“Bomba menerima panggilan pada jam 4.16 pagi dan apabila kami sampai, terdapat tiga kenderaan yang sedang terbakar.

“Kenderaan yang terlibat adalah kereta jenis Proton Persona dan dua motosikal jenis Yamaha dan Honda Wave yang telah terbakar 100 peratus,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya lagi punca kebakaran masih dalam siasatan dan api berjaya dikawal sepenuhnya setengah jam kemudian. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia