Utusan Borneo (Sarawak)

Melaka United sasar lima tangga teratas Liga Super 2017

-

PETALING JAYA: Penyerang import berbisa Melaka United, Ilija Spasojevic yakin skuad Sang Kancil itu mampu menamatkan saingan Liga Super musim depan dalam kedudukan lima teratas.

Pemain berusia 29 tahun dari Montenegro yang mengakui bahawa saingan di liga utama Malaysia itu lebih kompetetif dan mencabar, berkata kehadiran jurulatih baharu, Eric Williams dan beberapa pemain berpengala­man dapat membantu juara Liga Perdana itu merealisas­ikan sasaran tersebut.

“Untuk musim depan, kita mempunyai lebih banyak pemain baharu yang berkualiti dan berpengala­man, jadi sudah pasti kami boleh mencapai sasaran itu, namun perlukan sedikit masa untuk mendapatka­n keserasian antara kami.

“Kita juga mendapat jurulatih baharu yang boleh berkomunik­asi dalam bahasa Melayu dan saya sudah berlatih di bawah beliau untuk sebulan. Beliau juga mempunyai corak dan strategik yang berbeza berbanding jurulatih terdahulu Mat Zan Mat Aris,” katanya.

Beliau yang fasih berbahasa Melayu berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2016 di sini.

Pada majlis tersebut, Spasojevic yang lebih dikenali sebagai Spaso berjaya merangkul kasut emas sebagai penjaring terbanyak Liga Malaysia dan anugerah Penjaring Terbanyak Import ( Liga Perdana) selepas meledak 24 gol sepanjang musim ini.

Beliau yang mempelajar­i Bahasa Melayu ketika bermain selama lima tahun di Indonesia, berkata Eric mempunyai perancanga­n untuk menukar taktikal perlawanan Melaka United yang sebelum ini menggunaka­n format 4- 2-3-1.

Spaso turut yakin bahawa kehadiran kapten pasukan kebangsaan, Mohd Amri Yahyah dan pemain import berasal dari Argentina, yang sebelum ini beraksi untuk kelab Tatabanya di Hungary, Sergio Aguero dapat memantap skuad itu untuk mengancam barisan pertahanan lawan.

Selain tiga penyerang tersebut, skuad Sang Kancil itu juga mempunyai Mohd Fauzi Roslan, Nurshamil Abd Ghani dan Izzaq Faris Ramlan yang boleh memberikan kelebihan kepada pasukan itu untuk mendapatka­n kemenangan.

Melaka United dijangka mengadakan aksi persahabat­an pramusim menentang Negeri Sembilan pada 29 Disember ini sebelum mengharung­i Jelajah Kemboja sebagai persediaan untuk Liga Super bakal membuka tirai pada 21 Januari ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia