Utusan Borneo (Sarawak)

Generasi baharu sandaran Mesir kembalikan era kegemilang­an

-

KAHERAH, Mesir: Mesir kembali semula ke kejohanan Piala Negara Afrika selepas tujuh tahun menghilang dengan generasi baharu berharap untuk mengembali­kan era kegemilang­an memenangi tiga kejuaraan berturut-turut sebelum kebangkita­n rakyat pada 2011 menjejaska­n bola sepak Mesir.

Menonton bola sepak sejak berdekad-dekad adalah kegemaran jutaan penduduk Mesir, terutama sekali dengan pasukan kebangsaan mereka pernah memenangi kejuaraan pada 2006, 2008 dan 2010, menjadikan mereka salah sebuah pasukan terkuat di benua Afrika dan Timur Tengah.

Tetapi selepas 2011, minat mereka hilang selepas keganasan dan ekonomi merudum negara ekoran kebangkita­n rakyat.

“Mesir kembali menyertai kejohanan dalam situasi yang sangat berbeza,” kata Karim Ramzy, pengarah urusan penyunting laman sesawang bebas Yallakora, ketika memberitah­u AFP.

“Pasukan kebangsaan Mesir mengalami perubahan drastik berbanding kepada pasukan terakhir menyertai kejohanan ini,” kata Ramzy.

Kejohanan akan bermula pada 14 Januari di Gabon, dengan Mesir diundi dalam Kumpulan D bersama-sama Ghana, Uganda dan Mali.

Dari sejumlah 23 pemain yang dipanggil jurulatih Mesir, Hector Cuper, 19 daripada mereka beraksi buat kali pertama pada kejohanan ini, termasuk penyerang bintang, Mohamed Salah.

Keadaan berubah dengan mendadak di Mesir ekoran ketegangan politik dan keselamata­n yang melanda negara itu sejak kebangkita­n rakyat pada 2011 yang menjatuhka­n regim Hosni Mubarak.

Ketegangan itu memberi kesan kepada bola sepak, di mana pasukan kebangsaan gagal layak ke edisi 2012, 2013 dan 2015 dan walaupun memenangi kejohanan ini sebanyak tujuh kali, satu rekod di peringkat benua.

Pasukan kebangsaan juga tidak menerima sokongan yang sama seperti ketika di bawah kepimpinan Mubarak, di mana anak lelakinya, Gamal dan Alaa selalu hadir menyaksika­n sesi latihan dan juga perlawanan.

“Politik dan ekonomi berubah” menyebabka­n kepada kekurangan minat dalam bola sepak,” kata Ramzy.

“Di bawah Mubarak, tiada apa yang lebih penting berbanding bola sepak di negara itu. Ia lebih penting berbanding pilihan parlimen dan presiden,” kata beliau.

Tiada banyak liputan televisyen diberikan kepada penyertaan pasukan di kejohanan ini dalam rangkaian televisyen berbayar, yang lebih memberikan fokus kepada krisis politik dan ekonomi.

Dengan persaraan generasi emas seperti Mohamed Abou Treika, Ahmed Hassan, Wael Gomaa dan Mohamed Zidan, lebih banyak ruang diberikan kepada pemain muda.

Selain Salah, senarai pemain terkenal lain ialah Mohamed Elneny, Ramadan Sobhi, dan Ahmed Elmohamady yang bermain untuk kelab seperti Stoke City, dan Hull City di England, dan Kahraba, yang bermain untuk kelab Al-Ittihad di Arab Saudi.

Barisan pemain Mesir juga termasuk 10 pemain profesiona­l yang bermain di luar negara, jumlah yang terbesar pada kejohanan ini.

Apa pun, penyokong masih bimbang tentang kekurangan pengalaman pemain baharu, walaupun penjaga gol veteran, Essam Al Hadari dan pemain pertahanan, Ahmed Fathy, yang memenangi tiga kejohanan sebelum ini, bakal memberi semangat kepada mereka. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia